Salah satu daripada tanda-tanda kemunculan Imam Zaman (a.f.s) adalah keluar dan munculnya sebuah makhluk yang menyesatkan yang bernama "Dajjāl". Dajjāl dari segi bahasa dapat dikatakan kepada setiap pendusta. Terdapat juga definisi sifat-sifat sangat aneh yang berkaitan dengannya yang biasanya ditemukan dalam sumber-sumber Ahlusunnah. Namun oleh kerana sumber-sumber ini selalunya tidak memiliki sanad yang boleh dipercayai, maka kami tidak akan bersandar dengannya.
Betapa kuat peranannya sebagai peribadi yang menyesatkan sehingga kita diberi peringatan untuk menghindari dari setiap faktor yang boleh menyesatkan.
Lalu apakah dia adalah seorang manusia? Teknologi? Iblis? Ataukah … pertanyaan-pertanyaan seperti ini telah menyebabkan terdapatnya berbagai tanggapan tentangnya. Saranan kami ialah jauhilah setiap faktor yang membawa kepada penipuan dan pembohongan, dan jangan pula menjadi penyokongnya sehingga tidak sedar, ternyata kita telah menjadi pengikutnya atau telah terjerumus dalam tipu dayanya!
Salah satu daripada tanda-tanda kemunculan Imam Mahdi (a.j.f)[1] ialah keluarnya individu yang mengerikan bernama Dajjāl. Menurut ahli bahasa, "Dajjāl" dapat dikatakan untuk setiap pembohong walau apa pun bentuknya.
Riwayat (kebanyakannya dapat ditemui dalam sumber-sumber Ahlu Sunnah) menceritakan terdapat berbagai sifat-sifat aneh yang ada padanya. Di antaranya ialah ia mendakwa dirinya sebagai tuhan[2], memiliki umur yang panjang[3], sentiasa disertai oleh air dan api[4], mengubati orang yang buta sehingga dapat melihat, dan menyembuhkan penyakit hawar.[5]
Pada suatu hari Amirul Mukminin Ali (a.s) berkata sebanyak tiga kali dalam salah satu pidatonya, "Tanyalah apa sahaja yang kamu ingin bertanya sebelum kamu kehilanganku." Seorang daripada kalangan orang-orang yang baik bernama Ṣaʻṣaʻah bin Ṣuḥān bangkit dari tempatnya dan bertanya, "Wahai Amirul Mukminin, siapakah Dajjāl itu?"
Dalam menjawab pertanyaan tersebut beliau berkata, "Ketahuilah bahawa namanya adalah Dajjāl al-Ṣā’id bin aṣ-Ṣāʼid. Sungguh malang orang yang mengiyakan dan menerimanya dan sungguh beruntung orang yang menganggapnya sebagai pendusta. Dia (Dajjāl) akan muncul dari sebuah daerah yang terkenal dengan nama "Aṣbaḥān", sebuah daerah yang dihuni orang-orang Yahudi. Kelopak mata kanannya saling melekat tanpa mempunyai lekuk mata (sama rata). Sementara mata yang lainnya terletak di dahi dan memiliki cahaya yang sungguh terang seolah-olah seperti cahaya bintang di pagi hari. Pada matanya terdapat daging yang seakan-akan bercampur dengan darah, di dahinya (iaitu di antara kedua-dua matanya) terdapat tulisan kāfir di mana setiap kitab dan orang-orang buta huruf akan mampu membacanya. Dia mengharungi samudera-samudera dan matahari bergerak bersamanya. Di hadapannya terdapat gunung yang mengepulkan asap dan di belakangnya terdapat gunung berwarna putih yang disangka masyarakat sebagai makanan. Dia muncul pada suatu musim kering yang sangat parah. Di bawah kakinya terdapat seekor keldai berwarna hijau atau berwarna gelap. Setiap langkah kaki keldainya mampu menempuh jarak satu batu. Dia begitu cepat bergerak dan berputar di permukaan bumi. Ketika dia melalui mata air atau air, maka tempat itu akan menjadi kering sehingga hari kiamat tiba. Dengan suara yang sangat keras (sehingga seluruh penghuni yang berada di barat dan timur mendengarnya) ia berteriak, "Datanglah ke arahku, wahai para wali dan para sahabatku! Akulah (tuhan yang) telah menciptakan dan membentuk wajah-wajah, menentukan takdir dan membimbing kalian." Ketahuilah, dia berdusta dengan kata-katanya! Kerana sesungguhnya dia adalah musuh Allah … dan pada akhirnya dia akan dibunuh oleh tangan (Imam Mahdi a.j.f) orang yang memimpin solat yang diikuti oleh Nabi Isa (a.s)."[6]
Tentang siapakah hakikat Dajjāl itu sendiri, untuk sementara ini kami tidak dapat mendapatkan keputusan yang penghabisan, namun dalam masalah ini, secara ringkas terdapat beberapa tanggapan dan kemungkinan berikut:
- Dajjāl merupakan individu hakiki yang melakukan perkara-perkara luar biasa yang berbentuk sihir. Ia muncul pada akhir zaman selaku sumber fitnah yang luar biasa dan besar bagi umat manusia, sebagaimana hal ini dilihat dengan jelas dari makna dari segi bahasa bahawa perkataan dajjāl itu sendiri. Ia merupakan individu penyihir yang memiliki berbagai prasarana material. Sebahagian riwayat menyebutnya sebagai "Masīh kesesatan" yang bertentangan dengan "Masīh kebenaran", iaitu Nabi Isa (a.s).
Dia mula melakukan aksinya untuk melawan Imam Zaman (a.j.f) pada zaman kemunculan beliau, dengan istilah lain, dia mengibarkan benderanya sendiri pada masa kemunculan Imam (a.j.f). Ia merupakan salah satu daripada orang-orang yang berumur panjang yang sebenarnya pada saat ini pun telah ada dan akan tetap hidup sehingga kemunculannya. Dia juga akan menguasai seluruh dunia kecuali Mekah dan Madinah.[7]
- Yang dimaksud dengan Dajjāl adalah Iblis.
- Yang dimaksud dengan Dajjāl adalah Sufyāni.
- Dajjāl sebenarnya lebih berdimensikan simbol dan kod.
- Dajjāl merupakan simbol dari puncak tamadun dan teknik Barat yang mengoyak dan mengancam Islam serta dasar-dasarnya. Ia sebuah tamadun yang merancang untuk memerintah akan cuba menakluki setiap manusia. Dengan jelas kita dapat menyaksikan bagaimana tamadun dan teknik materialist Barat telah mampu menguasai seluruh lapisan masyarakat pada saat ini, bahkan termasuk kaum muslimin juga.[8][]
Untuk mendapatkan maklumat yang lebih jauh mendalam sila rujuk:
Dajjāl Durugh-gu-ye Faribandeh, Fashlnomeh Mau'ud, No. 4.
[1] . Sudah tentu di dalam kitab Ahlusunnah tanda ini dikenali sebagai salah satu daripada tanda-tanda akan terjadi hari kiamat (Sunan Tarmudzi, jil. 4, hal. 507-519; Sunan Abi Daud, jil. 4, hal 115; Shahih Muslim, jil. 8, hal. 46-81), akan tetapi dalam sumber-sumber riwayat Syiah juga disebutkan bahwa tanda ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat (Biharul Anwar, jil. 6, hal. 296, bab 1) selain itu juga dianggap sebagai tanda-tanda kemunculan Imam Zaman (a.j.f). Sudah tentu ada persamaan antara tanda-tanda kemunculan yang juga merupakan tanda-tanda kebangkitan tidak terdapat pertentangan, kerana kemunculan Imam Zaman (a.j.f) itu sendiri merupakan tanda-tanda akhir zaman.
[2] . Sunan Ibnu Majah, jil. 2, hal. 1360.
[3] . Shahih Muslim, jil. 8, hal. 205.
[4] . Shahih Bukhāri, jil. 8, hal. 103.
[5] . Musnad Ahmad, jil. 5, hal. 13.
[6] . Muntakhābul Ātsār, Luthfullah, Shafi, bab 3, hal 532, hadis ke 8.
Dalam sebahagian riwayat dikatakan bahawa akhirnya dia tewas di tangan Isa Al-Masih (a.s) (Biharul Anwar, jil. 14, hal. 348, bab 24) atau dikatakan pula bahwa akhirnya dia tewas di tangan Nabi Isa (a.s) di samping pintu gerbang "Lad" di daerah Syam. Untuk keterangan lebih lengkap sila rujuk: Bihārul Anwār, jil. 52, hal. 193 dan 209, Kamāluddin, 525 dan 526, Kasyful Ghummah, jil. 3, hal. 281; Al-Masāilul 'Asyr, telah dicetak pada Mushnaf-mushnaf Syeikh Thusi, jil. 3, hal. 122; Irsyād, jil. 2, hal. 271; Kanzul Ummal, jil. 14, hal. 198-200.
Sudah tentu kedua-dua ta'bir ini tidak memiliki perbezaan iaitu Nabi Isa (a.s) berada di sisi Imam Mahdi (a.f.j) dan aktiviti-aktiviti peperangan diserahkan kepada pemimpin perang.
[7] . Al-Faqih, jil. 2, hal. 564, bab Tahrimul Madinah wa Fadhlaha …; At-Tahdzib, jil. 6, hal. 12, bab 5, Tahrimul Madinah wa Fadhlaha.
[8] . Tārikh Ma Ba'da adz-Dzuhur, Sayyid Muh. Shadiq, Shadr, hal. 141-142, dengan nukilan dan memanfaatkan: Mau'ud Syināsi, Ali Ashgar Radhawi, Nasyr Masjid Jamkaron, hal. 533.