Jawapan pertanyaan ini akan menjadi jelas dengan memerhatikan definisi kehendak (irādah) dan pembahagian-pembahagiannya iaitu iradah (kehendak) takwini dan tashri’i. Kehendak terbahagi kepada dua, pertama kehendak takwini dan kedua kehendak tasyri’i.
Kehendak Takwini ialah pengetahuan terhadap ciptaan secara sempurna dan meliputi segala-galanya, iaitu sebagaimana Allah Maha Sempurna dan Maha Mengetahui segala ciptaan, pengetahuan terhadap penciptaan ini jugalah menjadi sebab penciptaan semesta di mana pengetahuan itu disingkapkan sebagai kehendak (Iradah).
Adapun kehendak tasyri’i ialah pengetahuan Allah (s.w.t) terhadap kemaslahatan pada perbuatan mukallaf, dan ilmu terhadap kemaslahatan ini menjadi sumber diadakannya taklif, lalu kita menyebut hal ini sebagai kehendak tasyri’i.
Ketaatan dan kemaksiatan, ibadah dan dosa adalah merupakan tanda-tanda yang diabstraksikan daripada perbandingan atas perbuatan-perbuatan kehendak manusia dengan perintah-larangan Allah, iaitu kehendak Tasyri'i. Bukannya perbandingan dengan kehendak Takwini Allah. Kehendak Takwini Tuhan bersangkutan dengan seluruh perbuatan autonomi (ikhtiari) manusia.
Dari sudut pandang kecintaan dan kemurkaan (yang merupakan kriteria kehendak tasyri’i Tuhan) perbuatan-perbuatan manusia terbahagi menjadi dua bahagian:
1. Perbuatan-perbuatan terpuji
2. Perbuatan-perbuatan tercela dalam bahagian pertamanya tertakluk dengan iradah tasyri’i Tuhan manakala bahagian keduanya tidak tertakluk dengan iradah tasyri’i-Nya. Namun dengan memerhatikan bahawa wujudnya perbuatan bebas dan kehendak dalam perbuatan ini, maka keiradahan kedua-dua bahagian ini tertakluk dengan kehendak takwini Tuhan. Kerana itu perbuatan-perbuatan tercela bermula dan secara langsungnya menjadi kehendak manusia. Secara tidak langsung pula ia adalah kehendak takwini tuhan. Dalam masa yang sama ia bertentangan dengan iradah tasyri’i-Nya (yang seharusnya dikerjakan manusia).
Sesuai kaedah universal yang terjadi dalam sistem penciptaan semesta iaitu tiada seorang pun yang memiliki keperlakuan mutlak dan bebas selain Tuhan. Apabila sebahagian fenomena memiliki pengaruh dan perbuatan maka hal itu sesuai dengan iradah dan izin Tuhan. “Wa maa tasya’una illa an yasyaa’ Alllah,” dan tidak hanya sumber perbuatan mengikut kehendak Tuhan, perbuatan itu sendiri juga berada dalam daerah kehendak Tuhan.
Akan tetapi tentang pertanyaan yang mengemukakan hal ehwal kenescayaan, keumuman dan keluasan iradah Tuhan yang menegaskan bahawa segala perbuatan tercela dan tidak layak juga bergantung kepada kehendak-Nya, padahal iradah perbuatan-perbuatan tercela seperti mengerjakan perbuatan tak terpuji adalah tercela dan tidak layak. Sedangkan zat kudus Tuhan suci dan jauh dari segala sifat tercela dan buruk. Jawapan pertanyaan ini memerlukan satu mukadimah dan ianya adalah pembahagian iradah tasyri’i dan takwini.
Secara umumnya, dalam bidang teori sains (falsafah sains) kehendak hanyalah tidak lebih dari memiliki satu bahagian iaitu iradah takwini, sementara itu, bahagian kedua iradah tasyri’i terletak dalam bidang perbahasan-perbahasan yang bersangkut paut dengan pengaturan hukum dan penetapan syariat.[1]
Iradah takwini adalah pengetahuan terhadap semesta secara sempurna dan lengkap. Ertinya sebagaimana Tuhan Maha Mengetahui tentang semesta dengan sempurna dan lengkap, maka ilmu terhadap semesta ini merupakan sebab penciptaan dunia di mana ilmu tersebut dipanggil iradah. Dengan kata lain, ilmu dan iradah pada kita kemungkinan mempunyai dua makna dan dua hakikat, namun pada zat wajib Tuhan, keduanya adalah satu iaitu tidak lebih daripada iradah penciptaan dunia; iaitu ilmu atas sistem penciptaan.
Adapun kehendak tasyri’i adalah ilmu Tuhan terhadap kemasalahatan pada perbuatan mukallaf (manusia) dan ilmu terhadap kemaslahatan inilah yang menjadi sumber taklif dan yang disebut sebagai kehendak tasyri’i.
Kerana itu apa yang tidak boleh dikosongkan dari taklif ilahi adalah ilmu terhadap kemaslahatan. Ertinya kehendak tasyri’i yang harus terdapat pada tugas-tugas syariat (taklif). Apa yang mustahil ialah bertentangan dengan maksud kehendak takwini, bukannya iradah tasyri’i yang bertentangan dengan maksud iradah tasyri’i di mana ia merupakan perkara yang mungkin. Ertinya boleh jadi Allah (s.w.t) memiliki pengetahuan terhadap kemaslahatan pelaksanaan solat seorang hamba, namun hamba tersebut tidak melaksanakan solat. Oleh itu, apa yang diperlukan pada tugas-tugas syariat ialah kehendak tasyri’i.[2]
Jawapan dari pertanyaan di atas dapat dijelaskan dengan memperhatikan pada pendahuluan yang telah dihuraikan sebelum ini, sesuai dengan kaedah-kaedah falsafah dan keselarasannya dengan ayat-ayat al-Qur’an.
Kewujudan imkani sentiasa menjadi makhluk dan ciptaan Tuhan, “Allāh khāliq kulla syai”,[3] dan apa yang menjadi ciptaan dan makhluk Tuhan adalah indah dan terpuji. “Alladzi ahsana kulla syai khalqah.”[4] Dan perbuatan-perbuatan terpuji dan tercela asal wujudnya tidak memiliki perbezaan. Menguasai harta benda orang lain dengan izinnya dan menguasai dengan merampas dari perspektif realiti dan kenyataannya adalah satu. Hubungan halal dan sah antara lelaki dan wanita dengan hubungan haram dan tidak sah antara keduanya tidak terdapat perbezaan pada realiti luarannya. Lantaran keduanya merupakan pilihan pelakunya masing-masing dan aslinya satu pada dunia luaran dan keaslian kewujudannya. Menurut realiti dan keberadaannya ia merupakan makhluk dan ciptaan Tuhan dan bergantung kepada kehendak takwini Ilahi. Dikotomi terpuji dan tercela pula tidak memiliki makna.
Terpuji atau tercelanya pelbagai perbuatan ikhtiari (pilihan) manusia disebabkan sesuainya atau tidak sesuainya dengan perintah dan titah syariat di mana perintah-perintah dan larangan-larangan syariat ini juga merupakan penjelas kerelaan dan keredaan atau ketidakrelaan dan kemurkaan Tuhan serta sekali-kali tidak menjadi fokus keredaan dan kebencian kehendak takwini Tuhan.[5]
Ketaatan dan maksiat, ibadah dan perbuatan dosa merupakan tajuk-tajuk yang diabstraksikan tatkala dibandingkan dengan perbuatan-perbuatan berkehendak manusia dengan perintah-perintah dan larangan-larangan Tuhan yang merupakan kehendak tasyri’i, bukan pada perbandingan dengan kehendak takwini Tuhan. Kehendak takwini Tuhan seperti ilmu dan kudrat-Nya meliputi seluruh perbuatan manusia namun dari sisi kecintaan dan kebencian Tuhan merupakan ukuran kehendak tasyri’i Tuhan.
Dalam hadis disebutkan Allah (s.w.t) berfirman: “Ya abna Adam! Ana awwali bihasanatika minka wa anta awwali bisayyiatika minni.” Dalam redaksi firman Ilahi apabila kita perhatikan secara saksama, kita akan saksikan bahawa Tuhan menisbahkan kebaikan kepada diri-Nya dan juga kepada manusia. Namun firman-Nya, Aku lebih dahulu (utama) darimu tentang kebaikanmu, namun mengenai keburukan pula, Allah (s.w.t) berfirman, “Engkau lebih dahulu (utama) berkaitan dengan keburukanmu.”
Dalam hal ini kami akan menukil sebuah contoh yang ditemui pada sebahagian karya para pengkaji demi menambah pengetahuan: “Seperti matahari yang menyinari dinding dan dinding menjadi terang kerana pendaran cahaya matahari, dan dengan perantara sinar matahari, dinding memberikan bayangan. Orang yang menyaksikan dinding dan tidak mengetahui matahari beranggapan bahawa cahaya pada dinding adalah bersumber dari dinding. Dan orang yang memandang matahari mengetahui bahawa cahaya pada dinding berasal dari matahari. Meski cahaya yang disandarkan kepada dinding adalah cahaya matahari sehingga dinding menjadi terang dan bercahaya. Pada penyandaran ini tidak terdapat keraguan dan sifatnya jelas. Akan tetapi terangnya dinding berasal dari matahari. Sebagaimana kita berkata, duduk dan berdiri disandarkan kepada kita. Akan tetapi segala kekuatan bersumber dari Tuhan. Sebagaimana yang membuatkan tertawa dan menumpahkan tangis hanyalah Allah (s.w.t) “Innahu adhaka wa abki.” Namun yang tertawa dan menangis adalah Zaid dan Umar. Kembali kita melihat bahawa dinding memiliki bayangan, dan setiap orang tahu bahawa bayangan ini mengikut pada dinding, bayangan tidak memiliki kewujudan secara zat dari dirinya dan bayangan dinding tidak bersumber dari matahari, sebagaimana cahaya dinding bersumber dari matahari, namun apabila matahari tidak menyinari dinding maka bayangan yang melekat pada dinding sekali-kali tidak akan pernah ada. Kerana itu, matahari meskipun secara zat tidak memiliki bayangan pada dinding, namun secara zat mataharilah memberikan cahaya kepada dinding, di mana kedudukan bayangan (secara tidak langsung) tempias daripada matahari.
Dengan demikian, dinding secara zat tidak memiliki penerangan dan secara tidak sengaja terang di mana terangnya bersumber dari matahari. Demikian juga dengan dinding, secara zat tidak memiliki bayangan walaupun bayangan berasal darinya. Kerana itu, kedudukan cahaya pada dinding dan pada bayangan dinding asalnya adalah matahari yang berkuasa dan pengaruh matahari tidak dapat dipisahkan dari bayangan dinding, walaupun bayangan bersumber dari dinding. Maka ketahuilah bahawa cahaya matahari contoh bagi kebaikan dan bayangan dinding adalah perumpamaan bagi keburukan dan perbuatan dosa.
Matahari berkata kepada dinding: “Meski engkau bercahaya, namun “Akulah lebih dahulu cahayanya darimu.” Dan juga berkata kepada dinding: “Meski nampaknya bayanganmu berasal dariku, namun engkau lebih dahulu pada bayanganmu dariku.” (Anta awla bizhillika minni). Kemudian anda berkata kepada dinding, “Apa sahaja yang menyebabkan cahaya pada dirimu maka cahaya itu daripada matahari. Dan apa yang menyebabkan bayangan pada dirimu maka itu berasal darimu.” []
Daftar pustaka untuk telaah lebih jauh:
1. Hasan Hasan Zadeh Amuli, Khair al-Ātsar dar Rad Jabr wa Qadr.
2. Ja’far Subhani, Ilahiyyat ‘ala Hudā al-Kitāb wa al-Sunnah wa al-‘Aql, jil. 2.
3. Muhammad Taqi Ja’fari, Tafsir wa Naqd Tahlil Matsnawi Jalaluddin Muhammad Balkhi, jil. 1.
4. Ahmad Wai’zhi, Insān az Didgāh-e Islām, daftar-e Hamkari Hauzah wa Daneshgah.
5. Ruhullah Musawi Khomeini, Thalāb wa Irādah, terjemahan dan komen, Sayid Ahmad Fahri
6. Shadruddin Mulla Shadra Syirazi, Risālah Jabr wa Ikhtiyār, Khalq al-‘Amal.
[1]. Ali Rabbani Gulpaigani, Jabr wa Ikhtiar, Muassasah Tahqiqati Sayid al-Syuhada Qum, cetakan pertama, 1368, 84.
[2]. Imam Khomeini, Thalâb wa Irâdah, terjemahan dan ulasan, Sayid Ahmad Qahri, Intisyarat-e ‘Ilmi wa Farhanggi, hal. 52.
[3]. “Allah pencipta segala sesuatu.” (Qs. Al-Zumar [39]:62)
[4]. “Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah.” (Qs. Al-Sajdah [32]:7)
[5]. Allamah Thaba-thabai, Tafsir al-Mizân, Muassasah al-‘Alami al-Mathbu’at, Beirut Libanon, 1393, cetakan ketiga, jil. 1, hal. 101.