Please Wait
7770
Menurut pemikir Islam, tidak ada yang melebihi dari sebuah cinta hakiki di alam semesta ini dan cinta itu ialah cinta kepada Allah (s.w.t). Manakala cinta yang lain adalah cinta dusta, bukan hakikat atau metafora. Bahkan penggunaan cinta untuk selain Allah (s.w.t) tidak sah kerana ia hanyalah “rindu” (syauq), bukan cinta (isyq). Ciri-cirinya ialah tatakala seorang belum mendapatkan cinta kekasihnya, api cintanya masih akan terus membara dan ketika ia sudah mendapatkan cinta kekasihnya, gejolak cintanya akan mulai berkurangan secara perlahan-lahan, dan bahkan akan menghilang. Lain pula halnya dengan cinta hakiki, di mana seseorang ketika telah mendapatkannya, perasaan cintanya akan semakin membara dan bertambah banyak.
Cinta metafora dapat membantu melembutkan hati seorang sufi kerana seorang pencinta sentiasa memikirkan kekasihnya dan akan berusaha keras untuk mendapatkan hati kekasihnya serta sedia mengorbankan segala sesuatu demi kerelaan kekasihnya.
Cinta metafora dapat membebaskan diri seseorang dari hati yang bergantung kepada hal-hal duniawi. Ini disebabkan segala angan-angan serta keinginannya hanya akan difokuskan pada satu hal iaitu kepada si kekasihnya sahaja dan hal ini dapat lebih memudahkan untuk mengalihkan tumpuannya kepada cinta hakiki dibandingkan dengan yang lain. Kerana bagi pencinta metafora, setelah terbebas dari ribuan pergantungan kepada hal-hal duniawi, ia hanya perlu melepaskan satu hal sahaja untuk sampai kepada kekasih hakiki iaitu berpaling dari cinta metafora menuju ke arah cinta hakiki. Sementara bagi yang lain darinya, terlebih dahulu harus berjuang keras melawan ribuan keinginan serta pergantungan tersebut dan setelah ia berjaya menempuh perjalanan panjang yang sulit dengan membasmi ribuan pergantungan duniawi ini, maka barulah ia akan sampai kepada kekasih hakiki.
Sebahagian orang tidak mempunyai potensi dalam dirinya untuk membolehkannya sampai kepada kekasih hakiki secara langsung, namun kadangkala akibat dari kesan cinta metafora dalam diri seseorang, ia akan menjadikannya sedar bahawa Allah-lah satu-satunya Kekasih hakiki yang layak untuk dicintai dengan sepenuh hati.
Kebanyakan ulama tidak memberikan pandangan yang pasti berkenaan dengan cinta metafora. Sementara pada umumnya, urafa` dan para sufi mendukung adanya cinta metafora. Adapun para fuqaha` dan agamawan menentang keras kewujudan cinta metafora dan mereka menganggap hal tersebut sebagai penyimpangan dari cinta hakiki, bahkan merupakan penyimpangan dalam agama. Pada dasarnya mereka menganggap sebutan kekasih untuk Allah adalah salah sebab sebutan tersebut berasal dari para sufi akibat pengaruh kecenderungan biologi atau pengalaman patah hati (broken heart).
Cinta sejati adalah kecintaan kepada zat Ilahi dan pada dasarnya kecintaan kepada selain zat Ilahi bukanlah cinta, akan tetapi ia adalah suatu kerinduan. Perbezaan antara “cinta” (isyq) dan “rindu” (syauq) ialah, rindu merupakan apabila seseorang mencari dan mengejar sesuatu yang ia sukai dan kemudian setelah beberapa saat ia meraihkannya secara perlahan rasa suka tersebut mulai berkurang. Lain halnya dengan cinta, baik sebelum atau setelah seseorang mendapatkan sesuatu yang ia sukai, bukannya perasaan cinta tersebut lambat laun akan menjadi pudar, namun bahkan sebaliknya perasaan cinta tersebut akan semakin bertambah besar dan tidak akan musnah. Cinta ini hanya khusus kepada zat suci Allah (s.w.t) sebab kadang-kadang seseorang itu setelah memperoleh sesuatu apa ia sukai, ia menjadi sedar bahawa ternyata sesuatu yang ia sukai tersebut tidak ada nilainya atau bahkan ia mentertawakan dirinya atas kebodohannya bahawa mengapa ia begitu menyukai sesuatu yang tak bernilai tersebut.[1] Dengan demikian cinta hakiki dan sejati ialah kecintaan kepada Allah semata-mata. Urafa’ memiliki alasan atas pandangan mereka berkenaan dengan cinta metafora (cinta kepada selain Allah (s.w.t)) yang merupakan jambatan menuju cinta hakiki. Ibnu Sina di dalam “Isyārat” menuturkan tentang perbahasan makam-makam ‘urafa`: “Seorang sufi memerlukan sebuah penyucian diri yang memiliki tiga matlamat.”
Matlamat pertama ialah menjauhkan kebatilan dari kebenaran dan yang kedua adalah menjadikan “nafsu Amarah” tunduk patuh, serta yang terakhir iaitu, melembutkan hati agar dapat menerima peringatan dan penyedaran dengan mudah. Kemudian beliau berkata lagi: “Ada dua hal yang dapat membantu terwujudnya tujuan ketiga tersebut iaitu pertama, adanya fikiran yang jernih dan yang kedua ialah kesucian dan ketulusan cinta sehingga pengaruh Kekasih lebih dominan dibandingkan dengan pengaruh nafsu.[2]
Oleh itu, Ibnu Sina dalam perkataannya mengisyaratkan bahawa cinta metafora merupakan sebuah jalan bagi seorang sufi dan sebagai jambatan menuju ke arah kecintaan Ilahi untuk sampai kepada tingkat tertinggi irfan. Imam Fakhr ar-Razi dalam menjelaskan ucapan Ibnu Sina tersebut mengatakan: “Mabuk cinta, merupakan kesan dari sebuah cinta di mana seorang pencinta akan sentiasa terbayang gerak-geri dan diam, datang dan pergi serta kemarahan dan kerelaannya sang kekasih. Tutur kata dan perilaku kekasih juga akan sentiasa terlintas di benak sang pencinta sehingga hal ini akan membawanya ke puncak mabuk cinta. Untuk itu diceritakan bahawa dalam mimpi orang-orang bertanya kepada Majnun, “ Apa yang telah Allah (s.w.t) lakukan kepadamu? Majnun menjawab: Allah telah menjadikan aku sebagai bukti atas orang-orang yang mengaku sebagai pencintaNya”. Khawajah Nasiruddin Thusi dalam menjelaskan ucapan Ibnu Sina tersebut juga berkata: “Cinta metafora memberikan kesungguhan dan kelembutan kepada hati manusia dan membebaskan hati manusia dari kebergantungan-kebergantungan duniawi sehingga ia akan berpaling dari selain kekasihnya.
Segala kegundahan, keinginan serta harapannya akan terpusat pada satu tempat di mana hal ini dapat lebih memudahkan perhatiannya kepada kekasih hakiki dibandingkan dengan yang lainnya. Sebab ia hanya tinggal melepaskan satu hal sahaja iaitu mengalihkan cinta metaforanya ke arah cinta hakiki sedangkan selebihnya terlebih dahulu harus berjuang melawan ribuan keinginan dan angan-angan untuk sampai kepada cinta hakiki tersebut.[3]
Dengan demikian, cinta metafora ialah sebagai sebuah perantara dan langkah awal yang dapat membantu seorang sufi untuk memperolehi pengarahan dan perhatian dalam perjalanan spiritualnya. Adapun bentuk bantuan tersebut dalam pandangan Imam Fakhr ar-Razi lebih ditujukan kepada perhatian seorang pencinta kepada kekasih sehingga perhatian tersebut menyebabkan adanya “mabuk cinta”. Sementara Khawajah Nasiruddin Thusi beranggapan bahawa cinta merupakan sebuah pelepas berbagai macam kebergantungan hati seorang pencinta dari hal-hal duniawi sehingga membuka kesempatan untuk lebih memudahkanya sampai kepada kekasih hakiki.
Mungkin yang dimaksud dengan kalimat “al-majâz qantar al-haqiqah” “Metafora merupakan jambatan menuju hakikat” ialah potensi setiap orang untuk sampai kepada kesempurnaan spiritual berbeza-beza. Kerana tidak semua orang mampu untuk sampai kepada cinta hakiki (cinta Ilahi) secara langsung. Oleh kerana itu, cinta metafora sebagai pagar yang membentengi sufi dari gangguan dan ancaman sehingga menjadikannya lebih berkomitmen dalam mengamalkan “sair wa suluk” serta akan membawanya ke alam spritual.[4]
Persepsi ulama tentang cinta metafora:
Pada umumnya dalam perkataan kaum arif dan para filosof tidak ditemukan penentangan terhadap cinta metafora, namun bahkan mereka menganggapnya sebagai jambatan menuju cinta hakiki. Mengenai kebanyakan ulama tidak memberikan persepsi mereka secara jelas berkenaan dengan cinta metafora ini, namun sebahagian fuqaha (juris) dan teolog menentang adanya hal tersebut dan menganggapnya dapat menjauhkan sufi dari spiritualiti dan cinta hakiki. Cinta metafora ini dianggap sebagai sebuah bid`ah yang direka oleh kaum sufi sehingga mereka melarang penggunaan kata tersebut berkaitan dengan Allah. Sebab mereka memandang negatif perkara kesufian dan puisi-puisi romantik akibat kecenderungan biologi dan pengalaman patah hati.[5][]
[1]. Murtadha Muthahari , Tafsir Sure-ye Hamd.
[2]. Doktor Huseini Malaksyahi, Tarjumeh wa Syarh-e Isyârat wa Tanbihât Ibnu Sina, bab 7, hal. 446.
[3]. Sayid Yahya Yatsribi, Falsafeye Irfan, hal. 332
[4]., Ain al-Qudhat Hamadani, al-Tanbihât, hal. 96. Sayid Yahya Yatsribi, Falsafeye Irfan, hal. 326.
[5]. Dawud Ilhami, Dâwarihaye Mutazhâd darbare-ye Ibnu Arabi. Sayid Yahya Yatsribi, Falsafeye Irfan, hal. 326.