Please Wait
68913
“Arasy” bermakna sesuatu yang mempunyai atap. Takhta kerajaan juga boleh dinamakan arasy sebagai kiasan (kinayah) daripada kekuasaan dan pemerintahan. Sedangkan “kursi ” juga bermakna takhta dan singgahsana. Kedua-dua kata itu digunakan dalam al-Qur’an. Terdapat banyak tempat dalam al-Qur’an, arasy dinisbatkan kepada Allah swt, sementara kursi hanya pada satu tempat saja. Tetapi hal ini bukan bahagian dari perbahasan kita.
Dengan ini, apakah yang dimaksudkan dengan “arasy dan kursi”? Para ulama dan mufassir berbeza pandangan dalam memberikan jawapannya. Secara umumnya jawapan para ulama terbahagi kepada dua bahagian. Sebahagian ulama salaf menganggap bahawa membahas masalah itu adalah bid’ah. Mereka mengatakan: “Kita tidak mungkin dapat memahami dan menjangkau arasy dan kursi Allah swt, kita hanya mampu mengenali namanya sahaja." Bertentangan dengan ini adalah sekumpulan ulama yang membolehkan perbahasan tentangnya dalam ruang lingkup agama di mana dalam hal ini mereka terbahagi kepada empat kumpulan.
- Sekumpulan ulama berpandangan bahawa arasy dan kursi itu satu. Dan mereka memberikan makna berdasarkan lafaz tersurat yang kaku. Mereka berkata: “Arasy dan kursi itu adalah satu makhluk (ciptaan) mempunyai wujud luar iaitu berupa makhluk Allah swt yang betul-betul menyerupai takhta dan mempunyai beberapa kaki (tunggak). Kaki-kakinya itu bersandar kepada langit ketujuh dan Tuhan adalah seperti seorang raja yang menduduki singgahsana kerajaan tersebut. Dari sinilah Dia mengatur berbagai-bagai urusan”. Kumpulan ini dikenali sebagai kaum Musyabbihah (menyerupakan Allah dengan makhlukNya).
- Kumpulan ini mempunyai pandangan yang sama dengan pandangan sebelumnya, iaitu arasy dan kursi itu memiliki wujud luar yang nyata dan merupakan makhluk, tetapi mishdaqnya (wujud luaran) berbeza dengan pandangan pertama. Kumpulan kedua ini berdasarkan pandangan Ptolemy (Claudius Ptolemaeus) mengatakan bahwa arasy Tuhan itu adalah falak (planet) yang tertinggi (planet kesembilan). Manakala kursi Tuhan adalah planet kawâkib (bintang). Pandangan ini berdasarkan kepada riwayat yang datang dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi: “Langit-langit dan tujuh lapis bumi tidak terletak di samping kursi . Tetapi ia laksana lingkaran yang terhampar di padang sahara yang luas”.
- Majoriti mufassir mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan arasy dan kursi Tuhan adalah sebagai satu makna kiasan dan tidak mempunyai bentuk dan wujud luar yang nyata tetapi apakah yang dimaksudkan dengan makna kiasan? Terdapat pelbagai maksud dan erti yang dikatakan. Kadangkala mereka memaknakannya mengikut kesesuaian dengan sebuah hadis yang dinukil oleh Hafsh bin Ghiyas dari Imam maksum a.s. Kepada Imam Shadiq a.s dia bertanya tentang tafsir ayat yang berbunyi “Wasi’a kursiyyuhu as-samawati wal ardh” (KursiNya seluas langit-langit dan bumi). Imam Shadiq a.s menjawab: “Maksudnya adalah ilmuNya”. Mereka mengatakan maksudnya adalah ilmu Allah yang tidak bertepi.
Dan kadangkala pula mereka memaknakannya berdasarkan ayat mulia yang berbunyi: “Tsummastawa ‘alal ‘arsy” (kemudian Dia bersemayam di atas arasy). Iaitu bermakna kekuasaan dan kerajaan Tuhan. Kadangkala pula ia dimaknakan dengan sifat kamâliyah (kesempurnaan) dan sifat jalaliyah (keagungan) Tuhan.
- Pandangan keempat adalah daripada para ulama terkini seperi Allamah Thabathaba’i, mereka mengatakan bahwa arasy dan kursi itu mempunyai wujud luar yang hakiki, walaupun dari lafaz tersebut boleh dimaksudkan dengan dua buah makna kiasan. Berdasarkan pandangan ini, pada hakikatnya arasy dan kursi itu adalah satu perkara yang secara umum dan terperinci mempunyai dua martabah (peringkat) dan perbezaan kedua-duanya adalah bersifat rutbi (urutan), dan kedua-duanya itu merupakan hakikat dan wujud yang nyata. Tetapi bukan merupakan takhta dan singgahsana Tuhan dan tempat Dia bersemayam, sebagaimana yang dimaksudkan oleh kumpulan di atas. Akan tetapi maksud arasy adalah darjat tertinggi alam wujud yang merupakan sebab dan illat seluruh peristriwa, penciptaan dan semua asma (nama-nama). Dan salasilah sebab-sebab dan illat berakhir kepada martabah tersebut. Sedangkan kursi berada pada martabah (susunan) yang lebih rendah, iaitu sebagai maqam rububi (tingkat pengaturan) di mana seluruh kewujudan planet langit dan bumi tegak berdasarkan atasnya. Terdapat banyak sekali riwayat dan hadis yang mendukung akan kesahihan dan kekuatan pandangan ini.
1.Makna Arasy.
“Arasy” daripada segi bahasa bermakna segala sesuatu yang mempunyai atap.[1] Dengan itu maka punjung (tempat yang teduh), cadur (sejenis kerudung), khemah, pondok (dangau), bangsal, istana, dan binaan di atas perigi juga dinamakan arasy.[2] Kadangkala diertikan dengan singgahsana berkaki tinggi. Sebab itu singgahsana kerajaan dan pemerintahan juga dinamakan dengan arasy[3] di mana ianya sebagai kiasan daripada kekuasaan dan pemerintahan.
Arasy dalam Al-Qur’an.
Kata arasy sebanyak 26 kali disebutkan di dalam Al-Qur’an.[4] Dan biasanya yang dimaksudkan adalah arsy Tuhan. Di dalam beberapa tempat bermakna langit atau atap, seperti firman Allah Swt: “…yang tembok-temboknya runtuh di atas atap-atapnya”.[5] Atau bermakna takhta kerajaan, seperti firmanNya: “kemudian dia mendudukkan ayah dan ibunya di atas arasy”.[6] Dan firmanNya: “Siapakah di antara kalian yang mampu memindahkan arasynya kesini...”[7] kadangkala diertikan juga dengan ketinggian.[8] Yang menjadi topik pembahasan kita adalah arasy Tuhan.
Arsy Tuhan.
Apakah yang dimaksudkan dengan “arasy dan kursi”? Para ulama dan mufassir berbeza pandangan dalam memberikan jawapannya. Secara umumnya jawapan para ulama terbahagi kepada dua bahagian.
1.1 Sebahagian ulama salaf menganggap bahawa membahas masalah-masalah hakikat agama dan menjangkaui makna lahiriah Kitab dan Sunnah adalah sesuatu yang bid’ah dan haram. Mereka mengatakan: “Kita tidak mungkin akan dapat memahami dan menjangkaui arsy dan kursi Allah swt, yang kita fahami hanyalah namanya sahaja”. Ayat-ayat seperti ini –menurut mereka- termasuk ayat-ayat mutasyabihat, hendaklah dielakkan daripada membahaskan perkara tersebut. Sekarang, sebagaimana telah jelas bahawa akal dan juga Al-Qur’an dan Sunnah –yang bertentangan dengan akidah mereka- sangat menganjurkan dan menekankan agar umat Islam merenungkan ayat-ayat Al-Qur’an, memahaminya secara serius dan berhujjah dengan hujjah aqli. Bagaimana mungkin dengan semua dorongan dan anjuran yang ada dalam mukaddimah-mukaddimah seperti ini, kemudian mereka melarang untuk menentukan natijahnya?[9]
1.2 Para ulama yang membolehkan membahas masalah arasy ini dalam ruang lingkup agama terbahagi kepada empat kelompok iaitu:
a. Kelompok yang mengertikan secara tersurat dengan kaku mengatakan bahwa arasy itu merupakan makhluk yang mempunyai wujud luar yang betul-betul menyerupai takhta dan singgahsana yang memilki beberapa kaki. Kaki-kaki itu bersandar pada langit yang ketujuh. Dan Tuhan tidak ubah seperti seorang raja yang sedang duduk di singgahsanaNya. Dari takhta kerajaannNya inilah Dia mengatur segala urusan hambaNya.
b. Ulama yang berpendapat bahawa arasy itu mempunyai wujud luar sebagai sebuah makhluk Tuhan. Tetapi dalam hal mishdaq dan wujud realitinya berbeza dengan pandangan ulama pertama. Mereka mengatakan bahwa arasy adalah planet yang kesembilan yang meliputi alam material dan sebagai pembatas arahnya. Dan oleh kerana ia kosong dari bintang-bintang, maka ia dinamakan atlas.[10] Sedangkan kursi Tuhan adalah planet kawakib (bintang-bintang). Pandangan ini berdasarkan riwayat yang datang dari Rasulullah s.a.w yang menegaskan: “Langit-langit dan tujuh lapis bumi tidak terletak di samping kursi . Tetapi ia laksana lingkaran yang terhampar di padang sahara yang luas”[11].
c. Pandangan ketiga ini berbeza dengan pandangan sebelumnya. Mereka mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan arasy dan kursi Tuhan adalah sebagai makna kinayah (kiasan) dan tidak mempunyai bentuk dan wujud luar yang nyata. Apakah yang dimaksudkan dengan makna kinayah yang mereka katakan? Terdapat berbagai-bagai maksud dan erti ini. Kadangkala mereka memaknakannya mengikut kesesuaian dengan sebuah hadis yang dinukil oleh Hafsh bin Ghiyas dari Imam maksum a.s. Kepada Imam Shadiq a.s dia bertanya tentang tafsir ayat yang berbunyi “Wasi’a kursiyyuhu as-samawati wal ardh” (Kursi Nya seluas langit-langit dan bumi). Imam Shadiq a.s menjawab: “Maksudnya adalah ilmuNya”.[12] Mereka mengatakan maksudnya adalah ilmu Allah yang tidak bertepi.
Dan kadangkala pula mereka memaknakannya berdasarkan ayat mulia yang berbunyi: “Tsummastawa alal arsy”[13] (kemudian Dia bersemayam di atas arasy). Atau ayat yang berbunuyi: “Ar-Rahmanu ‘alal arsyistawa”[14] (Tuhan yang Maha Penyayang bersemayam di atas singgasanaNya). Iaitu bermakna kekuasaan dan kerajaan Tuhan. Kadangkala dimaknakan juga dengan sifat kamaliyah (kesempurnaan) dan sifat jalaliyah (keagungan) Tuhan kerana masing-masing daripada sifat terebut menjelaskan keagungan maqam Allah swt, sebagaimana takhta kerajaan para raja itu menunjukkan kebesaran mereka.
d. Pandangan yang keempat, dari satu sudut, sama dengan pandangan pertama dan yang kedua. Iaitu bahawasanya arasy itu memiliki wujud hakikat (wujud luar yang jelas). Dalam hal ini berbeza dengan pandangan yang ketiga. Tetapi daripada sudut lainnya, pandangan ini sama dengan pandangan yang ketiga. Iaitu yang dimaksudkan dengan arasy adalah makna kinayah. Dan dalam hal ini berbeza dengan pandangan pertama dan kedua. Dan ini adalah pendapat para ulama terkini seperi Allamah Thabathaba’i. Berdasarkan pandangan ini, pada hakikatnya arasy adalah martabah tertinggi alam wujud yang merupakan sebab dan illat seluruh peristriwa, penciptaan dan semua asma (nama-nama). Dan salasilah sebab-sebab dan illat itu mesti berakhir kepada martabah tersebut. Allamah Thabathaba’i mengatakan bahawa kalimat: “Tsummastawa alal ‘arsy”[15] (kemudian Dia bersemayam di atas arasy) yang merupakan satu contoh yang menggambarkan tentang luasnya pengaturan Allah swt atas seluruh milikNya, juga menunjukkan satu hakikat, iaitu sebuah maqam dan peringkat di mana pengendalian seluruh perkara dan urusan tertumpu pada peringkat tersebut. Dan ayat yang berbunyi: “Dan Dialah Tuhan arasy yang agung”[16] dan ayat yang berbunyi: “…hamba-hamba yang memikul arsy dan yang disekitarnya”[17] dan ayat-ayat lainnya, semuanya itu menunjukkan makna ini.[18]
2. Kursi .
Kursi bermakna takhta dan singgahsana dan menurut pandangan masyarakat umum (‘uruf) kursi adalah nama sesuatu yang diduduki di atasnya.[19] Kata ini ada disebutkan di dalam Al-Qur’an sebanyak dua kali yang mana kedua-duanya bermakna takhta. Letak perbezaannya adalah bahawa salah satu mishdaq (wujud luar) urfi kursi adalah takhta dan singgahsana Nabi Sulaiman a.s. Hal ini sebagaimana firman Allah Swt: “Dan sungguh telah Kami uji Sulaiman dan Kami lemparkan jasadnya ke atas kursinya, kemudian dia pun kembali”.[20] Sedangkan sehubungan dengan takhta Tuhan bermakna kinayah yang merupakan hakikat wujud.[21]
Kursi Tuhan
Apakah yang dimaksudkan dengan kursi dan singgahsana Tuhan yang meliputi seluruh langit dan bumi itu?
Sebagaimana beberapa pandangan tentang arasy yang telah dijelaskan di atas, begitu juga dengan kursi dan dengan sedikit perbezaan. Penjelasan umumnya adalah seperti berikut:
1-1. Majoriti ulama terdahulu mempunyai pandangan bahawa kursi Tuhan adalah sesuatu yang dikenali oleh manusia, yakni mereka hanya mengenal namanya sahaja. Sementara untuk memahami hakikatnya tidak mungkin dan membahasnya pun merupakan bid’ah.
2. Pandangan ulama ahli bahas:
a.Pandangan kaum Musyabbihah bahawa kursi dan arsy itu adalah satu, iaitu takhta kerajaan Ilahi yang terletak di langit yang ke tujuh. Dari takhta inilah Dia mengatur seluruh urusan alam semesta ini.
b.Pandangan sekumpulan ulama yang mengikuti dasar pemikiran Bethlamiyus. Mereka mengatakan bahwa kursi adalah planet kawakib (bintang-bintang). Sedangkan arasy adalah planet yang tertinggi.
c.Pandangan majoriti ulama ahli tafsir mengatakan bahwa kursi itu tidak mempunyai wujud hakiki. Ia hanyalah sebagai kinayah (kiasan) belaka. Kinayah itu adalah ilmu Tuhan atau kekuasaan dan kerajaanNya.
d.Pandangan para ulama terkini, seperti Allamah Thabathaba’i di mana inilah pandangan yang kukuh dan benar. Berdasarkan pandangan ini kursi itu adalah, di samping merupakan satu kiasan, ia juga mempunyai wujud hakiki yang nyata, iaitu satu martabah wujudi, maksudnya adalah maqam rububi di mana seluruh keberadaan langit dan bumi tegak berdasarkan atasnya. Dengan demikian bahawa kursi adalah satu martabah dari martabah-martabah ilmu Ilahi di mana seluruh alam semesta ini tegak atasnya dan segala sesuatu tersimpan rapi dan tertulis di sana. Oleh sebab itu, arasy dan kursi -pada hakikatnya- adalah hal yang satu yang secara ijmali (umum) dan tafshili (terperinci) mempunyai dua peringkat. Dan ikhtilaf yang terdapat di antara kedua-duanya hanyalah bersifat rutbi (urutan) dan keduanya merupakan hakikat wujudi. Tetapi tidak seperti apa yang digambarkan oleh sebahagian orang bahawa hal itu sebagai takhta Tuhan dan singgasanaNya.[22] Riwayat-riwayat yang datang daripada para Imam maksum a.s juga mendukung kuat akan kesahihan pandangan ini. Sebagai contoh perhatikan beberapa riwayat berikut ini:
1. Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib a.s, ketika memberikan jawapan atas pertanyaan Jaslik berkata: “Para Malaikat memikul arasy Tuhan. Dan arasy Tuhan itu tidaklah seperti takhta kerajaan yang engkau bayangkan. Arasy Tuhan itu adalah berupa makhluk (ciptaan), mahdud (terbatas) dan diatur oleh Allah swt. Allah swt adalah pemiliknya dan bukanlah Dia bersemayam di atasnya. [23]
Riwayat lain yang juga dinukilkan daripada Imam Ali a.s adalah, yang dimaksudkan dengan kursi itu adalah ilmu Allah swt yang meliputi seluruh langit dan bumi dan segala isinya.[24]
Hanan bin Sudair menukil sebuah riwayat dari Imam Shadiq a.s ketika dia bertanya kepada baginda tentang makna arasy dan kursi . Baginda menjawab: “Arasy mempunyai sifat yang banyak dan bermacam-macam. Di setiap tempat di dalam Al-Qur’an, setiap kali menyebutkan nama arasy, maka hal itu berkait rapat dengan masalah yang disebutkan di situ”.[25] Arasy di dalam riwayat ini bermakna pemilikan, kehendak, keinginan dan pengetahuan. Arasy dan kursi adalah dua perkara yang hampir yang telah disebutkan di mana ilmu arasy adalah lebih tersembunyi daripada ilmu kursi.
[1] . Mufradat, raghib, kata arsy.
[2] . Al-Munjid, terjemahan Bandar Riki, Muhammad, juz 2, hal. 1100.
[3] . Qamus Qur’an, Sayyid Ali Akbar Qurasyi, juz 4, hal. 316.
[4] . QS. Ghafir: 7, 15, al-Haqah: 17, an-Nahl: 23, 26, 42, 41, 38, dan lain-lain.
[5] . QS. Al-Baqarah: 159.
[6] . QS. Yusuf: 100.
[7] . QS. An-Nahl: 38.
[8] . QS. Al-A’raf: 137.
[9] . Terjemah tafsir Al-Mizan, Allamah Thabathaba’i, juz 14, hal. 212.
[10] . Al-mufradat, Raghib, kata arsy, al-Mizan, ibid.
[11] . Al-Mufradat, Raghib, ibid.
[12] . Bihârul Anwâr, jilid 58, hal. 28, hadis ke 46 dan 47.
[13] . QS. Al-A’raf: 54.
[14] . QS. Thaha: 5.
[15] . QS. Al-A’raf: 54.
[16] . QS. At-Taubah: 129.
[17] . QS. Ghafir; 7.
[18] . Tafsir Al-Mizan, juz 15, hal. 216.
[19] . Mufradat Raghib, kata kursi, Qamus Qur’an, juz 4, hal. 316.
[20] . QS. Shad: 34.
[21] . QS. Al-Baqarah: 25.
[22] . Al-Mizan, juz 4, hal. 230 dst, juz 15, hal. 212 dst, juz 27, hal. 187 dst, Tafsir
emuneh, juz 2 hal. 201 dst, juz 6, hal. 204, juz 9, hal. 25, juz 20, hal. 53, juz 24, hal.
58, juz 26, hal. 193 dan 348.
[23] . At-Tauhid, Syaikh Shaduq, hal. 316.
[24] . Al-Kafi, Kulayni, juz1 hal. 130.
[25] . At-Tauhid, babul arsyi wa sifatihi, hal. 322.