Please Wait
12846
Pengasas dan pelopor aliran Baha’iyyah adalah Mirza Hussain Ali Nuri yang memeluk ideologi Ali Muhammad Bab dan beriman dengan dakwaan-dakwaannya setelah kemunculan dan huru-hara Ali Muhammad Bab dengan propaganda Mullah Husein Busyrawiyah. Setelah kematian Bab dan berpaling dari mentaati saudaranya Yahya Subḥ Azal (Pengganti Bab), Mirza Hussain Ali Nuri telah mendakwa kononnya diri beliau itu adalah orang yang telah dijanjikan kezuhurannya oleh Bab (man yuzhhiruhullahu). Dakwaan seperti ini makin hari makin menjadi-jadi sehingga ia membuat dakwaan membawa risalah baru dan Allah (s.w.t) yang menjelma dalam dirinya.
Husein Ali Nuri dibuang negeri ke Baghdad pada tahun 1269 H dan ia menetap di sana sampai tahun 1279 H sehinggalah pemerintahan Uthmānī memindahkan beliau dan para pengikutnya ke ‘Akka. Setelah kematiaannya pada tahun 1310 H, anaknya, `Abbas Efendi yang diberi gelaran ‘Abdul Baha’ sentiasa berusaha dan bekerja keras untuk menyebarkan ajaran Baha’iyyah dan juga berhasil menarik sokongan kerajaan Inggeris.
Selanjutnya pada tahun 1921 M, Syauqi Efendi, anak lelaki daripada anak perempuan ‘Abdul Bahai menjadi pemimpin aliran Baha’iyyah dan terus melanjutkan kegiatan-kegiatannya di bawah bayang-bayang naungan Israel. Ia meninggal pada tahun 1957 Masihi dan kepemimpinan aliran Baha’iyyah diserahkan kepada sebuah kelompok bernama baitul ‘adl yang terdiri dari 9 orang dan berpusat di kota Haifa, wilayah Palestin yang diduduki Israel.
Baha’iyyah, walaupun dari perspektif politik hanyalah anak kelahiran penjajah atau dengan pandangan yang cukup objektif, mereka itu memilki sistem serta tujuan politik yang sama dengan negara-negara penjajah dan anehnya lagi mereka sentiasa mendapat dukungan dari negara-negara tersebut. Namun, dari aspek pemikiran dan latar belakang sejarahnya itu bersumber pada aliran Syaikhiyyah; kerana Baha’iyyah bersumber dari Bābiyyah, manakala Bābiyyah pula berasal dari Kasyfiyyah sementara Kasyfiyyah lahir dari Syaikhiyyah. Syaikhiyyah percaya kepada rukun ke-empat serta keyakinan-keyakinan lain yang lahir dari ungkapan sayyid Kazhim Rasyti telah menjadi inspirasinya sehingga Ali Muhammad Bab cuba mendakwa bahawa beliau adalah Bab Imam Zaman. Dengan menerima seluruh dakwaan-dakwaan Bab Mirza Husein Ali, beliau mendakwa bahawa syari’at yang lalu (yang dibawa oleh Bab) telah dinasakh (dihapus) dan digantikan dengan syari’at baru yang ia bawa. Untuk mengetahui hal tersebut kami persilakan anda untuk merujuk pada jawapan terperinci berikut ini.
Baha’iyyah merupakan satu aliran yang diasaskan dan dipelopori oleh Mirza Husein Ali Nuri. Beliau adalah anak Mirza `Abbas Nuri yang lahir pada tahun 1233 H di Tehran. Keluarganya berasal dari kampung yang terletak di bukit kecil bernama Takar di Mazandaran (Utara Iran). Sama seperti halnya ayahnya yang bekerja sebagai setiausaha Imam Wardi Mirza pemerintahan Qajariah, beliau setelah menamatkan pendidikan rendahnya juga bekerja di mahkamah. Oleh kerana suami saudara perempuannya juga adalah setiausaha konsul Rusia, beliau turut berpengetahuan tentang urusan dan pekerjaan-pekerjaan berkaitan perhubungan dengan kedutaan-kedutaan.[1]
Dengan kemunculan Ali Muhammad Bab dan adanya huru haranya, beliau dan saudaranya (Yahya Shubh Azal) dan beberapa saudara lain dari keluarganya ikut bergabung dengan Bab. Ketika Bab dihukum gantung atas perintah Mirza Taqi Khan Amir Kabir di Tabriz, Yahya Shubh Ali yang 13 tahun lebih kecil dari saudaranya terpilih sebagai pengganti Bab. Sudah tentu Mirza Husein Ali juga menerima keputusan tersebut demi kemaslahatan. Namun tidak lama kemudian ia membelot.[2] Mula-mula ia mendakwa dirinya adalah Mahdawiyat (sebagai Imam Mahdi); iaitu orang yang dijanjikan oleh Bab akan muncul dan lahir.[3] Semakin lama dakwaan ini semakin menjadi-jadi. Dari dakwaan raj’ah Husaini dan Isa al-Masih sampailah kepada dakwaan membawa risalah dan syari’at. Akhirnya ia mendakwa pula bahawa Allah (s.w.t) telah bersatu dan menitis dalam dirinya, serta “ana al haikal al a’la” (aku adalah yang maha tinggi) di mana beberapa dakwaan yang lain akan ditunjukkan nanti.
Pada tahun 1269 H, atas desakan rakyat dan para alim ulama, pemerintah yang berkuasa ketika itu terpaksa membuang negeri kelompok ini ke Baghdad. Baghdad ketika itu dibawah kekuasan pemerintahan Uthmani. Pada tahun 1279 H, pada mulanya pemerintahan Uthmani memindahkan mereka ke Istanbul dan kemudian ke Adranah. Pada zaman inilah kedua saudara tersebut bersaing untuk menjadi pemimpin kaum dan pengikut Babiyyah dan dengan alasan ini pemerintahan Uthmani menyeret mereka ke muka pengadilan dan pihak mahkamah memutuskan bahawa kedua bersaudara itu dengan para pengikutnya masing-masing akan diasingkan ke daerah yang saling berjauhan. Yahya Shubh Azal dan para pengikutnya diasingkan ke daerah bernama Qabras dan Husein Ali serta para pengikutnya diasingkan ke ‘Akka, daerah yang terletak di kawasan Palestin yang diduduki (Israel).
Mirza Husein Ali meneruskan hidupnya di ‘Akka dan meninggal pada tahun 1310 H akibat penyakit yang dideritainya, beliau di makamkan di sana juga, kemudian anaknya, `Abbas Efendi yang juga dikenal dengan sebutan ‘Abdul Baha’, berusaha semaksimum mungkin dalam penyebaran ajaran Baha’iyyah dan pada tahun 1911 M berangkat ke Eropa dan berjaya menarik sokongan serta menjalin hubungan kerja sama khusus dengan pemerintah Inggeris dan Amerika.
Setelah keruntuhan pemerintahan Uthmani pada perang dunia pertama, Abdul Bahai yang ketika itu tinggal di Haifa mendapat dukungan dari kerajaan Inggeris dan setelah perang selesai ia mendapat bintang penghargaan dari Inggeris atas bantuan dan kerjasama yang banyak menguntungkan pihak Inggeris.[4] Dia sendiri dalam tulisan-tulisannya menyebut bahawa raja empayar Inggeris George V memintanya untuk terus menetap di daerah Palestin.[5]
Pada tahun 1921 M, setelah kematian Abdul Bahai, Syauqi Efendi, cucu Mirza Husein Ali [6] , mengambil alih tampuk kepemimpinan aliran Baha’iyyah. Setelah pembentukan negara Israel, beliau melawat pemimpinnya dan menampakkan sikap bersahabat yang cukup menarik terhadap negara Israel dan hal itu menyatakan harapan dan doa untuk kemajuan dan kebahagiaan Israel[7]. Dalam ucapan tahun barunya kepada aliran Baha’iyyah pada tahun 1329 H beliau mengesahkan bahawa terbentuknya negara Israel merupakan realiti janji Tuhan.
Setelah kematian Syauqi Efendi pada tahun 1957 M, umumnya terdapat 9 orang yang digelar Baitul ‘Adl bertanggungjawab mengatur kelompok Baha’iyyah di mana pusatnya di kota Haifa, wilayah Palestin dalam pendudukan Israel.[8]
Pendekatan Politik Baha’iyyah:
Dari perkara-perkara yang lalu, umumnya kita telah mengenali pendekatan politik `Abbas Efendi dan Syauqi Efendi. Di sini apa yang kami perlu tunjukkan ialah pendekatan politik seperti itu tidak hanya khusus kepada kedua-dua individu ini sahaja. Tetapi sikap pengasas aliran ini berakar umbi di dalam kelompok ini sebagaimana yang dapat dibaca di dalam sejarah berikut:
Pada bulan Syawal tahun 1268 H dua orang dari kelompok Babiyyah telah cuba menembak Nasiruddin Syah dan setelah kejadian itu beberapa orang daripada mereka itu ditangkap dan dihukum gantung. Kemudian Mirza Husein Ali dicari untuk ditangkap, kerana menurut kerajaan pusat terdapat bukti-bukti dan tanda-tanda bahawa Mirza Husein Ali ada rancangan jahat dalam pembunuhan Syah (raja).[9]
Laporan-laporan sejarah mengisahkan Mirza Husein mengelak dari ditangkap dengan bersembunyi dan tinggal di kedutaan Rusia. Duta besar Rusia memohon daripada Syah supaya beliau dilindungi atau membebaskan Mirza Husein Ali. Ketika dibuang ke Baghdad, ia menulis surat ke duta besar Rusia yang isinya menyatakan ucapan terimakasih atas perlindungan yang diberikan oleh duta besar tersebut dan pemerintah Rusia. Begitu juga beberapa tahun kemudian dalam sebuah tulisan yang ditujukan kepada Nikolaevich Alexander II menyebut hal ini dan berterimakasih kepada pemerintah Rusia.[10]
Di Baghdad, konsul Inggeris juga pernah bertemu dengan dia dan mengusulkan supaya beliau mendukung pemerintah Inggeris.[11] Noktah yang sangat menarik ialah pemerintahan Uthmani melantiknya sebagai gabenor kota Baghdad.[12] Zaman Baha’iyyah berpindah dari naungan Rusia ke Inggeris, ketua konsulat Rusia, Dalgorouki melihat usaha dan kerja keras pemerintahannya sia-sia, sangat marah dan mededahkan seluruh apa yang pernah dilakukan untuk mewujudkan aliran Babiyyah dan Baha’iyyah.[13] Oleh kerana itu, ramalan bahawa Baha’iyyah merupakan kaki tangan negara penjajah semakin kuat atau kalau tidak demikian, ia memiliki tujuan politik yang seiring dengan kaum penjajah. Kesimpulannya bahawa Baha’iyyah tak lebih dari kelompok yang hidup dan matinya itu bergantung pada penjajah.
Asal usul keyakinan Baha’iyyah
Setelah jelas bahawa Baha’iyyah merupakan kesinambungan daripada Babiyyah, namun masalah dari mana asal usulnya hendaklah dikatakan bahawa Babiyyah merupakan kesinambungan daripada Kasyfiyah dan Kasyfiyah berasal dari Syaikhiyyah. Pengasas aliran Syaikhiyyah adalah Syaikh Ahmad Ihsai yang lahir pada tahun 1160 H dan beliau merupakan pengikut kelompok Akhbariyyun. Beliau dikafirkan oleh para ulama kerana akidahnya.[14] contoh kepercayaannya ialah:
1. Para Imam adalah sebab-sebab empat alam.
2. Prinsip-prinsip agama ada empat. (Makrifatullah, Makrifat para nabi, Makrifat para Imam Maksum (a.s), Makrifat rukun ke-4 iaitu para syaikh dan orang-orang besar Syaikhiyyah).
3. Al-Quran merupakan kalam Nabi (s.a.w).
4. Allah (s.w.t) dan para nabi adalah sesuatu yang satu atau sama.
5. Para syaikh dan pembesar-pembesar Syaikhiyyah adalah rukun ke 4.
6. Imam Zaman lari ke alam bidadari kerana takut.
7. Keadilan (‘Adl) bukan merupakan prinsip dasar Syi’ah. Dan lain lain.
Serangan dia terhadap para khalifah dalam salah satu bukunya menyebabkan Karbala menjadi sasaran serangan dan penduduknya dibunuh. Namun dalam peristiwa itu hanya rumah Sayid Kazhim Rasyti, salah seorang murid Syaikh Ahmad, yang selamat. Menjelang beberapa waktu kemudian, beliau berhijrah ke Hijaz yang berada di bawah kekuasaan Uthmani dan beliau disambut dan dilindungi oleh gabenor-gabenor yang ada di sana. Ia meninggal di tahun 1241 H pada usia yang ke 80 dan pasca meninggalnya Sayid Kazhim Rasyti mengambil alih dalam menyebarkan pemikiran-pemikirannya serta kemudian mengasaaskan aliran Kasyfiyah.
Sayid Kazhim Rasyti lahir pada tahun 1212 H dan meninggal pada tahun 1259 H. Lebih kurang 20 tahun beliau berada di kalangan pengikutnya selaku sebagai rukun ke 4, ia berkeyakinan bahawa Imam Mahdi (a.f.j) berada di kalangan kita dan mengirim para muballighnya ke untuk mempersiapkan orang ramai… Berdasarkan keyakinan inilah, salah seorang muridnya yang cukup disegani bernama Ali Muhammad Bab mendakwa “Saya adalah Bab Imam Zaman”. Tidak cukup dengan itu, tidak berapa lama kemudian juga cuba mengaku sebagai Al Mahdi Al-Mau’ud (Al Mahdi Yang dijanjikan) itu.[15]
Dalam tulisan-tulisannya, Bab kadang-kadang dengan jelas dan berulang-ulang mengaku keimanannya bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) adalah nabi terakhir sehingga hari Kiamat dan ia juga mengungkapkan keimanannya terhadap kepemimpinan 12 Imam Maksum (a.s), khususnya Imam Zaman (a.j.f). Namun, untuk membuka jalan bagi dirinya sendiri, tidak lama kemudian beliau menokok tambah dalam maksud ‘penutup para nabi sehingga hari kiamat’. Maksud kemunculan kiamat baginya ialah kemunculan beliau (Ali Muhammad Bab).
Kitabnya al-Bayân yang memiliki kedudukan istimewa di kalangan pengikut Babiyyah sebagai wahyu, merupakan bukti bahawa ia banyak dipengaruhi oleh aliran Hurufiyyah dan Nuqthiyyah [16] Dari perspektif ini ia juga meniru Syaikh Ahmad Ihsai.
Beliau menyusun kitab Al-Bayân dengan berpaksikan huruf abjad dan penerapannya dengan bilangan-bilangan (bilangan 19). Dalam kitab ini, ia meyakini bahawa setiap satu tahun ada 19 bulan dan setiap satu bulan ada 19 hari[17]. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai titik awal dan Bab Tuhan[18] iaitu 18 orang daripada sahabat-sahabat utamanya itu dengan huruf hayy (ya+ha=10+8) dan sampai kepada 19 orang dengan membentuk bilangan satu (wahid), kerana wahid dalam huruf abjad sama dengan bilangan 19. Dengan alasan inilah, ia membahagi kitab al-Bayan tersebut menjadi beberapa bagian di antaranya: al-Bayân unit pertama, unit kedua, unit ketiga dan seterusnya.[19]
Dalam syarah bahasa huruf-huruf akhir al-Bayân, terdapat hal ehwal rahsia pemilihan angka 19, iaitu perinciannya adalah: 14 Imam Maksum (a.s) dan 4 naib (wakil) Imam Zaman (afj) bersama Bab, maka jumlahnya menjadi 19 orang. Padahal kalau kita cuba menyelidik sebahagian dakwaan-dakwaan Bab, ia telah mengakui dirinya sendiri sebagai Al Mahdi Al Mau’ud. Jadi harus diakui bahawa jumlah bilangan rahsia tersebut menjadi kurang (iaitu 18 orang) dan untuk mengesahkan hal itu mereka terpaksa mencari cara lain.
Beliau banyak menakwilkan hal-hal seperti syurga, alam kubur, jambatan shirat, mizan, hari kiamat dan lain-lain. Beliau ada memberi ucapan dalam menjelaskan hal-hal berkaitan masalah asal raj’ah, maqam imamah, kezuhuran dan penjelmaan Tuhan dalam diri wali-walinya, mereka mempunyai ungkapan-ungkapan yang merupakan rangkai kata kelompok Gulat, Qaramatiyyah dan Syaikhiyyah.[20] Beliau banyak mengubah hal-hal yang ada kaitannya dengan ibadah seperti shalat, kiblat dan puasa. Antara hukum hakam beliau ialah:
1. Kalau ada isteri seorang dari pengikut Babiyyah tidak dapat hamil, maka ia boleh minta bantuan daripada saudara-saudaranya sesama pengikut Babiyyah untuk menghamili isterinya, bukan daripada golongan selain Babiyyah.[21]
2. Onani itu diperbolehkan,[22] dan lain sebagainya.[]
[1] . Yahya Nuri, Khatamiyat-e Payâmbar-e Islâm, hal. 62-63.
[2] . Dânesh Nâmeh Jahân-e Islâm, jil. 4, hal. 734, makalah Mahmud Shadri.
[3] . Ibid, jil. 4 hal. 743.
[4] . Syauqi Efendi, Qarn Badi’, jil. 3 hal. 299.
[5] . Makatib, jil. 3 hal. 347, sesuai yang dinukil dari buku Khatamiyat Payâmbar-e Islâm, hal. 68.
[6] . Dia adalah anak daripada anak perempuan Abdul Bahai.
[7] . Majalah Amri bulan Tir 1333 Syamsia sesuai apa yang dinukil dalam Dânesh Nâmeh Jahân-e Islâm, jil. 4 hal. 742.
[8] . Dânesh Nâmeh Jahan-e Islâm, jil. 4 hal. 733-744; Khatamiyat Payâmbar-e Islâm, hal. 62-69.
[9] . Abdul Hamid Khavari, Risalah Ttis’ah, hal. 387; lampiran-lampiran kitab Khatamiyat Payâmbar-e Islam (berkenaan bukti-bukti adanya hubungan Mirza Husein Ali dengan Russia dan surat yang beliau tujukan kepada empayar Russia).
[10] . Syauqi Efendi, Qarn Badi’, jil. 2 hal. 49; Dânesh Nâmeh Jahân-e Islâm, jil. 4 hal. 735.
[11] . Syauqi Efendi, Qarn Badi’, jil. 2 hal. 736.
[12] . Dânesh Nâmeh Jahân-e Islâm, jil. 4 hal. 736.
[13] . Khatamiyat Payâmbar-e Islâm (saw), hal. 78.
[14] . Di antara ulama yang mendukung pengkafiran dirinya adalah Mazandarani pemilik kitab Jawâhir. Khatamiyat Payâmbar-e Islâm, hal. 41.
[15] . Ja’far Khusynewis, Intizhar, no. 1, tahun 1380 Syamsi, hal. 240-250; Ali Rabbani Gulpaighani, Firaq wa Madzâhib-e Kalâmi, hal. 336-342; untuk Qazwini Musawi; Muhammad Kazhim Khalishi, Asrâr-e Pedâyesy-e Syaikhiyyah,Babiyyah, Bahaiyah; Kasyful Murâd (penelitian atas akidah-akidah Syaikhiyyah), Alif Hakim Hasyimi.
[16] . Untuk mengenal lebih banyak tentang aliran ini, sila rujuk pada buku : Khatamiyat Payâmbar-e Islam, hal. 41-46.
[17]. Bayân al-Wahid al-Khamis, hal. 18. Tentunya baki yang empat hari itu ditetapkan sebagai hari bersyukur dan hari pesta-pesta. (Dânesh Nâmeh Jahân-e Islâm, jil. 4 hal. 742.
[18] . Bab Allah terdiri dari 7 huruf dan Ali Muhammad juga terdiri dari 7 huruf.
[19] . Khatamiyat Payâmbar-e Islâm, hal. 52-53.
[20] . khatamiyat peyambar-e islam (s.a.w), hal. 58.
[21] . Al Bayan, bab 15 dari satu kedelapan.
[22] . Al Bayan, bab 10 dari satu kedelapan.