Please Wait
7939
Untuk menjawab persoalan ini, ada baiknya andai kita menjawabnya dengan pendekatan falsafah, baik melalui pendekatan falsafah peripatetik, falsafah iluminasi dan falsafah hikmah. Demikian juga dengan pendekatan kalam dan irfan ia akan menjadi lebih jelas. Luasnya pembahasan ini yang dikemukakan oleh para ilmuan meliputi pembahasan seperti imkan (kontingen), tsubut (realiti), itsbat (penetapan, pemikiran) dan bagaimana mungkinnya terjadi ma’ād (eskatologi). Apakah dalam bentuk jasmani atau rohani ataukah keduanya. Dengan mengamati hal ini untuk menjawab inti persoalan tersebut, ia akan memberikan kepada kita beberapa hal berikut ini:
A. Konsep Ma’ād
B. Kemungkinan terjadinya ma’ād
C. Dakwaan dan karakterisasi
D. Pembuktian ma’ād
A. Fahaman-fahaman seperti:
1. Kembalinya kepada kediaman (wathan) asli.
2. Kematian setelah kehidupan dan kehidupan setelah kematian.
3. Terciptanya alam lain seperti dunia dan berkumpulnya seluruh manusia di alam tersebut.
4. Kembalinya jiwa kepada mabdā’ (asal-mula).
5. Berpindahnya roh dari alam syahadah (fizikal) ke alam ghaib (metafizik).
6. Berkumpulnya jiwa-jiwa tertentu dan jiwa universal.
7. Kiamat atau bangkitnya manusia dari kubur.
B. Pertama harus dibuktikan kemungkinan terjadinya ma’ād setelah itu dibuktikan hakikat ma’ād itu sendiri. Mungkinnya hal tersebut dapat ditanggapi melalui kenyataan dunia itu sendiri.
C. Sebahagian besar ahli falsafah, ‘urafa dan teologi meyakini keberadaan ma’ād jasmani dan rohani, akan tetapi mereka berbeza dalam persoalan kembalinya jasmani. Dalam kata lain apakah setiap manusia akan dibangkitkan kelak dengan badan mereka di dunia ini, ataukah badan akhirat, atau badan aqli (rasional) atau badan barzakhi.
D. 1. Argumen-argumen rasional Qur’an mengenai ma’ād antara lain: Alam akhirat adalah keharusan dari matlamat dunia yang berdasarkan kepada dan tegak di atas prinsip keadilan serta sampainya manusia kepada kesempurnaan. Sebagaimana pertama kali Tuhan mencipta manusia dan membuat benih di bumi ini menjadi tumbuh, tentunya Tuhan juga mampu mengadakan ma’ād (membangkitkan manusia di hari akhir).
2. Di antara argumen rasional al-Qur’an seperti integral (menjadi lengkap dengan bahagian-bahagiannya) atau kesatuan setiap jiwa manusia, bahawa dengan perubahan karakteristik badan tidak mempengaruhi ma’ād itu sendiri. Kebaikan-kebaikan atau kesempurnaan-kesempurnaan rasional tidak akan didapati ketika jiwa bergantung kepada badan, namun dengan adanya ma’ād maka kesempurnaan-kesempurnaan seperti ini akan diperolehi. Matinya badan dikeranakan tendensi (kecenderungan terhadap…) jiwa kepada alam lainnya dan hal ini bermakna kembalinya jiwa kepada tempat dan posisinya yang abadi. Kenescayaan penciptaan manusia adalah berpindahnya ia kepada sebuah alam yang lebih sempurna. Kembalinya jiwa kepada mabdā (asal mula) adalah tuntutan kata “ma’ād“ itu sendiri. Kecenderungan jiwa terhadap mabdā’ melebihi kecenderungan jiwa terhadap badan itu sendiri dan kelazatan tertinggi adalah menyaksikan hakikat-hakikat itu sendiri. Ma’ād merupakan lokus (tempat sesuatu yang tepat sekali) manifestasi sebahagian nama-nama Tuhan seperti; Mu’id (Yang Mengembalikan), Muhyi (Yang Menghidupkan), Hāsyir (Yang Menghimpun), Bā’its (Yang Membangkitkan) dan sebagainya.
3. Argumen fitrah: Seluruh pokok (ushul) dan cabang ( furu’ ) agama seperti ma’ād adalah perkara fitrah. Kecenderungan manusia kepada keabadian bersifat fitrah dan kecenderungan ini akan menjadi kenyataan dengan adanya ma’ād. Matlamat manusia bukanlah kelazatan material. Takut terhadap kematian dan kemestian mati merupakan bukti akan fitrahnya kecenderungan manusia kepada kekal abadi.
Kami cuba menjawab persoalan di atas secara terperinci baik melalui pendekatan falsafah (Peripatetik, Iluminatif, Hikmah Muta’aliyah) juga melalui pendekatan golongan teologi dan irfan. Kami juga berusaha menyediakan hasil karya mereka tentunya dengan menukil perkataan mereka. Perlu kami ingatkan juga bahawa ahli-ahli falsafah telah berusaha melakukan penelitian mengenai aliran peripatetik Ibnu Sina dalam persoalan ma’ād, khususnya pembuktian ma’ād mereka secara rasional, akan tetapi ahli-ahli falsafah belum menemukan pembuktian ma’ād yang dilakukan oleh Ibnu Sina secara rasional. Walaupun beliau (Ibnu Sina) sendiri meyakini bahawa satu-satunya jalan dalam membuktikan ma’ād hanya dengan melalui pendekatan syar’i dan meyakininya melalui berita yang dibawa oleh para Nabi, bahkan Ibnu Sina meyakini tentang tidak perlunya membuktikan ma’ād secara rasional. Meskipun begitu, ia tetap mengulas hal-hal lainnya yang berkaitan dengan hari akhirat. Kemudian kami juga hanya menukil seadanya argumen para agamawan dan kaum urafa.
Selama kita meyakini bahawa kenyataan manusia tersusun dari jiwa dan material, maka tentunya perbahasan mengenai kebagaimanaan kembalinya manusia ke alam lain akan dibahas juga dari dua sisi, iaitu jasmani dan rohani. Pada umumnya setiap perbahasan yang berkaitan dengan ma’ād dapat dibahagi menjadi dua bahagian penting; pertama, hakikat dan keharusan ma’ād dan kedua, mengenai kebagaimanaan kebenarannya apakah dalam bentuk jasmani ataukah dalam bentuk rohani.
Ahli-ahli falsafah biasanya tidak begitu memperhatikan persoalan pertama atau berkenaan dengan hakikat ma’ād, mereka lebih mementingkan sisi jasmaninya walaupun pada saat yang sama mereka meyakini keduanya (baik jasmani maupun rohani). Hal ini dikeranakan mereka lebih menekankan aspek perbahasan jasmani. Oleh sebab itu ada empat unsur penting dalam menjawab persoalan ma’ād tersebut:
A. Konsep ma’ād (baik secara leksikal mahupun secara teknikal):
1. Kembali kepada kediaman (wathan) asli.[1]
2. Mati setelah hidup dan hidup setelah mati.[2]
3. Terciptanya alam lain seperti dunia dan berkumpulnya seluruh manusia.[3]
4. Kembalinya jiwa kepada mabdā’ (asal).[4]
5. Berpindahnya roh dari alam syahadah menuju alam ghaib.[5]
6. Berkumpulnya jiwa-jiwa tertentu dan jiwa-jiwa universal.[6]
7. Kiamat adalah bangkitnya seluruh manusia dari kubur di alam akhirat, dan ketika itu Tuhan mengadili segala perbuatan manusia sedangkan malaikat datang secara bersaf-saf.[7]
Salah satu kesimpulan yang boleh kita tarik pada persoalan ini adalah bahawa ma’ād adalah berpindahnya ke alam lain. Oleh kerana itu perbahasan mengenai kematian, keabadian jiwa atau keabadian itu sendiri di luar dari perbahasan ini atau dalam kata lain termasuk pembahasan pendahuluan.
B. Kemungkinan dan Terjadinya Ma’ād
Selama kemungkinan sesuatu belum dibuktikan maka perbahasan mengenai hal tersebut tentulah sia-sia. Untuk membuktikan hal tersebut dapat dilalui dengan jalan “wujud mumatssil“ (kenyataan yang serupa) atau memerlukan sesuatu yang lebih dalam menciptakan hal tersebut. Dalam menciptakan alam lain; Apakah serupa dengan penciptaan alam ini ataukah lebih mudah dari alam ini. Kenyataan dunia yang ada saat ini menunjukkan dari mungkinnya dunia itu sendiri, dan pada akhirnya memungkinkan pula ada sebuah alam yang serupa dengannya iaitu akhirat.[8] Dari sinilah kita bisa beranjak kepada perbahasan selanjutnya mengenai hakikat alam akhirat atau ma’ād.
C. Beberapa wacana dan ulasan hal ehwal ma’ād dan kebagaimanaan hakikatnya
Menurut Mulla Sadra sebahagian besar ahli falsafah, ‘urafa, ulama Syi’ah dan sebahagian juga dari golongan agamawan meyakini akan ma’ād jasmani dan ma’ād rohani. Hal tersebut berdasarkan bahawa jiwa yang bersifat non-material akan kembali kepada badan.[9] Mulla Sadra sendiri menamakan teorinya “kembalinya badan itu sendiri (bi’ainihi) bersamaan dengan jiwanya “ dan Mulla Sadra meyakini bahawa teorinya sesuai dengan teks (Qur’an-Hadis) dan akal, di mana apabila ada yang menentang hal ini maka ia adalah kafir dan mengingkari teks dan nash-nash al-Qur’an.[10]
Mu’ad (pengulangan) dalam ma’ād akan menjelaskan bahawa badan manusia yang teridentifikasi telah wafat, dengan anggota badannya, di mana jika ada seseorang melihatnya maka ia akan berkata “orang itulah yang ada di dunia sebelumnya.”[11]
Berdasarkan asas pemikiran Mulla Sadra, manusia dalam kesendiriannya pada saat yang sama memiliki tiga tingkatan alam iaitu inderawi, khiyali (imaginasi) dan akal. Yang pertama adalah material dan dunia, dengan gerak yang dia miliki maka manusia akan menjadi kewujudan spiritual (nafsani) dan barzakhi, kemudian jika dia melanjutkan geraknya akan menjadi wujud akal dan ukhrawi. Ketiga badan tersebut merupakan tingkatan dari satu badan yang tentunya memiliki kualiti yang berbeza, persis seperti perubahan-perubahan semulajadi yang terjadi pada badan material sejak usia muda hingga di masa tua. Dengan demikian, badan ukhrawi setiap orang adalah badan duniawinya itu sendiri yang menyempurna.[12]
Namun menurut golongan agamawan, bentuk kembalinya material adalah dengan berkumpulnya kembali unsur-unsur badan materialnya yang tercerai-berai.[13] Kerana unsur-unsur badan tersebut bersentuhan dengan jiwa tertentu maka unsur-unsur badan tersebut memiliki karekteristik tertentu pula. Oleh kerana itu setiap badan mengatur dan memperbaiki bahagian-bahagian badannya sendiri yang dengannya dia mengenal Tuhan. Setelah fasa ini, badan berhubungan dengan roh yang kemudian terciptalah manusia di dunia ini.[14]
Walaupun Ibn Sina meyakini akan ma’ād jasmani dan rohani, namun Ibnu Sina berpendapat bahawa akal manusia tidak mampu membuktikan ma’ād jasmani, hal tersebut hanya boleh dibuktikan melalui nash-nash yang ada. Akal hanya mampu membuktikan ma’ād rohani.[15]
Syaikh Isyraq menolak kebangkitan jasmani dalam pengertian dibangkitkannya kembali dalam keadaan badan material bersama dengan jiwa. Sebaliknya ia meyakini akan kewujudan badan barzakhi.[16] Hal ini dikeranakan jiwa yang sangat memiliki keterikatan yang besar terhadap asal mulanya (mabdā’ ) dan dengan membebaskan dirinya dari alam material, maka dia akan kembali kepada alam cahaya.[17]
D. Pembuktian Ma’ād
1.Sebahagian dalil-dalil rasional diambil daripada al-Qur’an:
Tuhan adalah haq dan tentunya Dia tidak mungkin mengerjakan sesuatu yang batil. Jika alam ini tidak memiliki tujuan tentunya hal itu bermakna batil. Oleh kerana itu gerakan alam ini pasti memiliki tujuan iaitu ia akan berakhir pada sebuah tempat keabadian dan ketenangan di mana alam tersebut kita sebut dengan alam kiamat.
Tuhan yang Maha Bijaksana tidak akan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hikmah dan keadilan, dan kerana di alam dunia ini belum layak untuk diberikan pembalasan kepada mereka yang mukmin dan yang kafir, oleh kerana itu diharuskan adanya suatu hari sebagai hari pembalasan bagi seluruh amal perbuatan mereka.
Rahmat Ilahi menescayakan manusia untuk sampai kepada kesempurnaan. Oleh kerana itu diharuskan ada kiamat sebagai balasan bagi perbuatan mereka dan merealisasikan kesempurnaan mereka.[18]
Ketika Tuhan pertama kali menciptakan manusia dan badan manusia, tentunya Tuhan pun mampu menciptakan kembali manusia sebagaimana yang diciptakan pada pertama kali tersebut.
Perhatikanlah benih yang ada dalam tanah, ketika sebab-sebab luaran melingkupinya seperti tanah dan air serta unsur-unsur lainnya secara logik kita akan mengatakan bahawa benih tersebut akan tumbuh ke atas. Tapi jika perhatikan pertumbuhan benih tersebut, kita boleh membahagikannya menjadi dua bahagian; tumbuh ke atas dan daripada sisi lainnya akarnya menjalar ke bumi. Hal ini menunjukkan kekuasaan dan hikmah yang tak terhingga yang dimiliki oleh Tuhan termasuk persoalan ma’ād itu sendiri.[19]
2.Beberapa dalil rasional
Pandangan Mulla Sadra dan Hikmah Muta’aliyah
Dalam al-Asfar al-Arba’ah, Mabdā’ wa Ma’ād serta al-Syawahid al-Rububiyah, Mulla Sadra menjelaskan prinsip-prinsip yang menjadi gagasan falsafah beliau. Dalam huraiannya ia menjelaskan persoalan ma’ād jasmani dan rohani. Mulla Sadra meyakini bahawa walaupun karekteristik badan sentiasa berubah, akan tetapi jiwa sentiasa tetap dan memberikan identiti bagi badan. Oleh kerana itu keseluruhan badan dan jiwa duniawi akan dibangkitkan di alam akhirat.[20]
Wujud adalah kesempurnaan dan kesedaran terhadapnya adalah kesempurnaan yang lain. Semakin sempurna sebuah wujud maka kesempurnaan pun akan semakin melimpah. Oleh kerana itu jika wujud potensi akal yang lebih sempurna maka kebahagiaan pun akan semakin melimpah. Kelazatan yang dihasilkan melalui pencerapan tersebut tidak dapat dihuraikan, dikeranakan akal dari sisi pemahaman dan yang memahami (mudrik) dan yang difahami (mudrak) lebih kuat dari inderawi. Walau bagaimana pun kesempurnaan-kesempurnaan ini tidak akan terwujud jika jiwa masih bergantung pada badan, meskipun begitu ketika ia bebas dari pengaruh badan maka kesempurnaan- kesempurnaan tersebut akan wujud.[21]
Ketika jiwa sampai pada sebuah darjat di mana ketergantungannya kepada badan semakin berkurang maka dirinya akan tertuju lebih banyak kepada alam lainnya. Jiwa akan berpisah dengan badan melalui kematian. Keterpisahan ini bukan disebabkan faktor jiwa tidak mampu lagi menjaga badan. Akan tetapi ia disebabkan jiwa lebih cenderung kepada alam lainnya. Sebabnya ialah jika kita menganggap keterpisahan ini dikeranakan ketidakmampuan jiwa maka seharusnya diawal penciptaan jiwa, kecenderungan untuk memisah akan lebih besar.[22]
Manusia dalam penciptaannya penuh dengan ketelitian dan menakjubkan dijaga sepenuhnya oleh malaikat muqarrab selamat 40 hari, oleh kerana itu secara rasionalnya, sangat mustahil jika Tuhan meredai kehancurannya. Akan tetapi yang diinginkan Tuhan adalah dari kondisi sebelumnya memindahkannya kepada kondisi yang lebih baik.[23]
Kembalinya jiwa kepada mabdā’ (asal mula) secara internal menimbulkan kata ma’ād itu sendiri. Kerana kembali, iaitu berpulangnya kita ke tempat asal kita datang.[24]
Menurut Syaikh Isyraq, kecenderungan jiwa yang sangat besar terhadap mabdā’ melebihi kecenderungannya terhadap badannya. Semakin non-material dan abstrak sesuatu tersebut maka kecenderungan jiwa akan hal tersebut semakin besar pula. Jika badan berhasil didominasi oleh jiwa maka ketika dia meninggalkan badan sekali pun, ia akan kembali kepada asalnya. Tidak ada yang lebih lazat bagi jiwa kecuali mencerap kesempurnaan itu sendiri. Jika jiwa disibukkan dengan kelazatan badan, maka jiwa tidak akan dapat mencerap kesempurnaan tersebut. Barulah setelah jiwa terpisah dengan badan maka seluruh hakikat-hakikat sebenar boleh disaksikan dan manifestasi-manifestasi akan melimpah pada dirinya.[25]
Pandangan agamawan
Agama-agama samawi di hadapan hukum-hukum syariat dijanjikan ganjaran pahala dan dosa. Akan tetapi keadilan Ilahi tidak akan mewujudkannya secara sempurna di dunia. Oleh kerana itu harus ada alam lain yang akan mewujudkan seluruh kesempurnaan di dunia.[26]
Pandangan ‘urafa
Tajalli Tuhan terhadap seluruh asma (nama-nama) dan sifatnya berasal dari darjat Ilahiah-Nya Tuhan. Pada setiap asma dan sifat terdapat kerajaan yang memerintah. Tempat bertajallinya asma seperti ; mu’id, muhyi, hasyir, adalah di alam akhirat sehingga seluruh sifat dan asma Tuhan bertajalli.[27]
3.Bebeapa dalil fitrah
Seluruh akar (ushul) dan cabang-cabang agama harus bersumber dari fitrah. Jika tidak maka antara hukum tasyri’i dan hukum takwini tidak terdapat keharmonian.[28]
Tujuan hakiki manusia bukanlah kelazatan material. Kerana ketika kita sampai pada hal tersebut maka kelazatan tersebut tidak akan binasa, bahkan secara fitrah kita menyedari akan kesempurnaan tersebut. Dengan kita menyelami darjat penciptaan dunia maka kita akan menyedari akan akhirat, di mana potensi-potensi akan menjadi kenyataan dan akan kembali kepada mabdā’ .[29]
Kecenderungan kepada kekal abadi adalah suatu hal yang fitrah, jika tidak maka manusia tidak akan merasakan takut dalam menghadapi maut. Seluruh kecenderungan- kecenderungan fitrah yang ada pada manusia untuk menghantarkan manusia kepada kesempurnaan sudah tentunya hal tersebut memiliki hikmah, salah satu hikmahnya adalah terwujudnya alam lain.[30] Kerana dunia tidak memiliki kelayakan bagi kita untuk menjalani kehidupan abadi.[31]
Kita boleh temukan sepanjang sejarah tentang hal ehwal takutnya manusia terhadap kematian dan hal ini menunjukkan akan kefitrahan manusia terhadap keabadian.[]
Senarai daftar pustaka yang dapat dijadikan rujukan:
1. Muhammad Taqi Misbah Yazdi, Âmuzesye Aqâ’id (Iman Semesta), Sazeman Tableghat Islami, jil. 3, hal 35-51 dan 59-67, Penetapan ma’ād menurut Akal dan Qur’an.
2. Ushul Aqaid (mabdā’ dan ma’ād ), Idare-ye Kul Umur-e Tarbiyati, Tabiztan 1363 S, hal. 119 – 131, Itsbāt-e Ma’ād az Rāh-e ‘Aql wa Al-Qur’ān.
3. Allamah Thabataba’i, Ushul-e Falasafe wa Rawesy-e Realism, ulasan Syahid Muthahhari, Sadra, cetakan ke-3, jil. 5, hal. 211, Yek Dalil ‘Aqli bar Ma’ād.
4. Ja’far Subhani, Ilahiyyat, al-Juz’ al-Rabi’, hal. 167, Adillah Wujub al-Ma’ād wa Dharuratihi.
5. Zainul Abidin Qurbani, Be Sue Jahân-e Abâdi, Muassasah Mathbuat Thabataba’i, hal. 92 – 111, Itsbat-e Ma’ād.
6. Allamah Tabataba’i, Tafsir al-Mizân,
7. Amir Divani, Hayat-e Jawidan, hal. 271-275, Istidlāl-e Qur’ān bar ma’ād.
8. Raz-e Jawidanegi, DR. Abbas Yazdani, Muhdis, cetakan ke-1, hal 279, Burhan-e ‘Arsyi Mulla Sadra bar ma’ād Jasmāni.
9. Syahid Murtadha Muthahhari, Adl Ilahi, hal. 183 – 195, Bahts-e Margh.
10. Ali Allahurdikhani, Mabdā’ wa Ma’ād ( azaliyyat wa abadiyyat ) Falsafi wa Hikmih, hal. 97-105, 112 dan 114.
11. Furugh al-Sadat Rahim Pur, Ma’ād az Didgāh-e Imām Khomeini, cetakan pertama.
12. Zahra Abdurrazzaqi, Ma’ād az Didgah-e Allamah Sayid Abulhasan Rafi’i Qazwini, hal. 25 – 82, Istidlālāt-e wa Nazharāt-e Mukhtalif darbare Ma’ād.
13. Sayyid Muhammad Husein Tehrani, Ma’ād Syināsi, Intisyarat-e Allamah Thabataba’i, cetakan ke-7, jil. 1, hal. 81-83, Nazhariyye Ibnu Sina wa dan Mulla Sadra darbare Huduts-e Nafs Insani ke Isyarai be Bazgazte An ham Darad.
14. Muhamamad Syuja’i, Ma’ād ya Bazgast-e be Sue Khuda, Syarkate Sahami Intisyar, Paiz 62.
15. Nasir Makarim Syirazi, Ma’rifah al-ma’ād, Istidlalat-e Jalib-e Aqli wa Qur’ani bar Ma’ād.
16. Syahid Muthahari, Muqaddimah bar Jahân Bini Islāmi, Qom, Intisyarat-e Sadra, tanpa tahun, Maqala Zendegi Jawid ya Hayat-e Ukhrawi, hal. 508 hingga akhir.
[1]. Ma’ād Rabbāni, Muhammad Ridha Rabbani, Kayhan, cetakan pertama, hal.14.
[2]. Mabda’ wa Ma’ād falsafe wa hikmah, Ali Allahurdikhani, penerbit ; Astan-e Quds Razavi, cetakan ke-2, hal 97 .
[3]. Falsafe-ye Mabda’ wa Ma’ād, Muhammad Javad Muhgniyah, Amir, cetakan ke-1, hal 157.
[4]. Mabda’ wa Ma’ād, Mulla Shadra, Sayyid Jalaluddin Asytiyani, Tablighat-e Islami, cetakan ke-2, hal 528.
[5]. Syua’e Andisye wa Syuhud dar Falsafe-ye Suhrawardi, Ghulam Husain Ibrahim Dinai, Hikmah, cetakan ke-2, hal 529.
[6]. Futuhāt al-Makiyyah, Muhyiddin Ibn Arabi, penerbit ; beirut, hal 311
[7]. Ibid, hal 307
[8]. Falsafa Mabdā’ wa Ma’ād, hal 156 - 158
[9]. Al-Mabdā’ wa Al-Ma’ād, hal 488 - 489
[10]. Ibid, hal 490
[11]. Ibid
[12]. Hayāt-e Jāwidāne, Amir Divani, Mu’awenate Asatid wa Durus Ma’arefe Islami, cetakan ke-1, hal 251.
[13]. Ibid, hal 242
[14]. Ma’ād Rabbāni, hal 156
[15]. Nejāt, Ibn Sina, penerbit ; universitas Tehran, th 1364, hal 682
[16]. Zahra Abd Razaqi, Ma’ād az Didgah-e Allamah Rafi’i Qazwini, Thaha, cetakan ke-1, hal 63.
[17]. Ghulam Husain Ibrahim Dinai, Op Cit, hal. 519.
[18]. Yād-e Ma’ād, A. Javadi Amuli, Farhangge Raja, cetakan ke-3, hal 108 – 109.
[19]. Al-Mabdā’ wa Al-Ma’ād, hal 534.
[20]. Al-Asfar Al-Arba’ah, Sayyid Jalaluddin Asytiani, jil. 9, hal 185 – 197.
[21]. Al-Asfar Al-Arba’ah, jil. 9, hal 121 - 123
[22]. Al-Mabdā’ wa Al-Ma’ād, hal 527
[23]. Ibid, hal 526 - 527
[24]. Ibid, hal 528
[25]. Tarjameh Hikmah al-Isyrāq, Sayyid Ja’far Sajjadi, Universiti Teheran, hal 368 - 370
[26]. Ma’ād az Didgāh-e Allamah Qazwini, hal. 45.
[27]. Ma’ād Rabbāni, p ; 127
[28]. Makarim Syirazi, Nasir, Ma’rifatul Ma’ād, cetakan ke-1, hal 25
[29]. Ja’far Subhani, Ilahiyāt, cetakan ke-4 hal. 176 - 177
[30]. Ma’rifah Al-Ma’ād, hal. 26.
[31]. Ma’ād Rabbāni, hal. 129.