Please Wait
7564
"Wilāyah" bermakna kedatangan sesuatu dalam mengikuti sesuatu yang lain tanpa ada jarak di antara keduanya. Tertib seperti ini melazimkan dekat dan hampir kedua-duanya di antara satu sama lainnya.
Oleh itu, terminologi wilāyah ini juga telah digunakan dengan makna cinta dan persahabatan, pertolongan dan sokongan, pengikut dan pendukung, pemimpin dan ketua.
"Wilāyah takwīnī" ertinya pemimpin seluruh kewujudan di dunia dan di alam eksternal serta memiliki hak autoriti perlaksanaan dan tindakan (تصرف عینی). Wilāyah takwīnī ini, pertamanya dan secara dhat (بالذات) hanya terbatas pada zat Allah (s.w.t). Yang kedua dan secara ʻarḍ (بالعرض; pengaruh atau kesan luaran zat) ianya dinisbahkan kepada Nabi (s.a.w), para Imam Maksum (a.s) dan manusia-manusia sempurna.
"Wilāyah" merupakan kata terbitan Arab berasal dari perkataan "walī". Dalam bahasa Arab, wilāyah ini bermakna kedatangan sesuatu dalam mengikuti sesuatu yang lain tanpa ada jarak di antara keduanya. Kelaziman dalam tertib ini ialah saling akrab dan dekat antara kedua-duanya. Oleh kerana itu perkataan ini telah digunakan dalam berbagai rupa bentuk makna yang berbeza (dengan fatḥaḥ dan kasrah huruf wāw). Antara makna yang telah disediakan ialah kecintaan dan persahabatan, pertolongan dan sokongan, ikutan dan dukungan, kepemimpinan dan ketua. Makna yang sepadan dan berkaitan dengan "wilāyah takwīnī" ialah makna yang terakhir tersebut.
"Wilāyah takwīnī" ertinya kepemimpinan atas seluruh kewujudan di dunia dan penguasaan atasnya di mana pertamanya: secara dhat (بالذات) hanya terbatas pada zat Allah (s.w.t). Yang kedua dan secara ʻarḍ (بالعرض ; pengaruh atau kesan luaran zat) ianya dinisbahkan kepada Nabi (s.a.w), para Imam Maksum (a.s) dan manusia-manusia sempurna.
Walau bagaimana pun kaedah ini juga mendapat perhatian dalam bentuk sebuah program sistematik dalam kebanyakan tema dalam al-Qur'an seperti kemuliaan (ʻizzah), quwwah (kekuatan), dan syafaat.
Berkenaan dengan wilāyah kita perhatikan bahawa Allah (s.w.t) berfirman, "فالله هو الولیّ" yang bermaksud: Wali sebenar manusia dan semesta hanyalah Allah (s.w.t)." (Qs. Al-Syura [42]:9) Dalam masa yang sama, Allah (s.w.t) berfirman, "النبی اولی بالمؤمنین من انفسهم و اموالهم" yang bermaksud "Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri" (Qs. Al-Ahzab [33]:6); atau pada ayat yang lain Allah berfirman: "انما ولیکم الله و رسوله والذین آمنوا الذین یقیمون الصلوة و یؤتون الزکات و هم راکعون" yang bermaksud: "Sesungguhnya pemimpinmu hanyalah Allah, rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedangkan mereka dalam keadaan rukuk." (Qs. Al-Maidah [5]:54) di mana dalam ayat ini membuktikan wilāyah bagi Allah, Nabi (s.a.w) dan Ahlulbait (a.s).
Sekarang, ayat ini bukanlah bermakna bahawa manusia memiliki beberapa wali dan pemimpin di mana salah seorang daripada mereka, atau yang paling agung daripada mereka adalah Allah. Namun dengan memberi perhatian kepada ayat dalam skop wilāyah "والله هو الولی" , maka satu-satunya wali hakiki dan sejati hanyalah Allah.
Nabi (s.a.w) dan Ahlulbait (a.s) adalah wali secara ʻard dan menampilkan wilāyah Allah. Menurut tafsir dan penerangan al-Qur'an, mereka adalah tanda dan petunjuk tentang wilāyah Tuhan.[1]
Berkenaan dengan pertanyaan kedua bahawa apa kaitan wilāyah takwni dengan para Imam Maksum (a.s)? Sebelum menjawab pertanyaan ini hendaklah kita memperhatikan dua noktah berikut terlebih dahulu:
- Di antara seluruh kewujudan di alam semesta ini, manusia memiliki kedudukan dan darjat yang unggul dan tinggi sehingga para malaikat sekali pun tidak sampai pada kedudukan dan darjat tersebut. Manusia memiliki potensi dan berbagai kekuatan terpendam di dalamnya di mana apabila ia menemukannya dalam dirinya dan terus membangun dengannya, maka ia mampu menjadi khalifah Allah di muka bumi dan sebaik-baik makhluk.
- Dari satu sisi Allah (s.w.t) membuka jalan bagi seluruh manusia untuk sampai kepada wilāyah-Nya "Sesungguhnya para wali Allah tiada ketakutan pada diri mereka juga tiada kesedihan." Dari sisi lain Allah (s.w.t) memperkenalkan dengan sangat baik siapakah para walinya.
Dengan memperhatikan dua perkara ini kita dapat mengambil kesimpulan bahawa dengan berkat pembinaan dan penggemblengan pelbagai potensi, meraih pengetahuan dan makrifat yang tinggi dan sampai kepada iman dan yakin yang lebih tinggi, para Imam (a.s) telah memasuki wilāyah Ilahi di mana hasil penuh keberkatan adalah limpah kurnia Allah (s.w.t) atas wilāyah takwīnī-Nya kepada orang-orang suci tersebut.
Riwayat hidup para Imam menceritakan bahawa penghambaan, pengabdian kepada Tuhan, dan hubungan berterusan dengan Allah (s.w.t) merupakan puncak prioriti mereka dalam kehidupan di mana dengan eliksir penghambaan Tuhan ini, mereka melakukan pelbagai aktiviti kimia dan menghirup roh kehidupan dalam dalam kerangka sistem semesta sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis: "بکم یمسک السماء ان تقع علی الأرض" yang bermakna: "Dengan perantara kamu sehingga langit tidak runtuh ke bumi."[2]
Dinukilkan daripada Imam Mujtaba (a.s) yang berkata: "من عبد الله عبد الله له کل شیء", maksudnya ialah: "Barangsiapa yang menyembah Allah (s.w.t) maka Allah akan jadikan segala sesuatu menjadi hambanya."[3]
Tersebut dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah (s.w.t) berfirman: "عبدی اطعنی حتی اجعلک مثلی"؛ iaitu "Hambaku taatilah Aku sehingga Aku menjadikanmu seperti-Ku."[4]
Dalam hadis yang lain:"ابن آدم أنا غني لا أفتقر أطعني فيما أمرتك أجعلك غنيا لا تفتقر يا ابن آدم أنا حي لا أموت أطعني فيما أمرتك أجعلك حيا لا تموت يا ابن آدم أنا أقول للشيء كن فيكون، أطعني فيما أمرتك أجعلك تقول لشيء كن فيكون"؛ maknanya: "Wahai Bani Adam Aku maha kaya tidak akan miskin. Taatilah atas apa yang Aku perintahkan kepadamu sehingga Aku jadikan engkau kaya tidak akan miskin. Wahai Bani Adam! Aku (maha) hidup tiada akan mati. Taatilah atas apa yang Aku serukan kepadamu sehingga Aku jadikan engkau hidup tiada akan mati. Wahai Bani Adam! Aku berkata pada sesuatu jadilah maka jadilah (kun fayakun), taatilah atas apa yang Aku perintahkan kepadamu, sehingga Aku jadikan engkau berkata kepada sesuatu jadilah maka jadilah (kun fayakun)."[5]
Di samping riwayat ini, terdapat banyak riwayat dan hadis yang terkenal, qurb nawāfil yang disebutkan dalam kitab Ushul Kafi, yang menjelaskan secara umum rahsia bagaimana para Imam sampai kepada wilāyah takwīnī. Berkat wujud mereka seluruh entiti memakan rezekinya, langit tetap tegak dan bumi tetap terhampar.[6]
Kesimpulannya: Dalam mencari wilāyah takwīnī Allah (s.w.t) para Imam mampu mengendalikan seluruh kewujudan, entiti dan keseluruhan sistem alam semesta berkhidmat kepada mereka sehingga kita tidak mampu menghitung segala mukjizat dan aktiviti luar biasa mereka. Semua ini merupakan penegasan atas realiti yang tidak dapat diingkari ini.[]
[1]. Wilāyat Faqih, Abdullah Jawadi Amuli, hal. 122, 123, dan 129.
[2]. Ziarah Jame'e.
[3]. Tafsir 'Askari, jil. 1, hal. 327.
[4]. Asrār al-Shalat, hal. 4 (mukaddimah). Syarh-e Doa Sibah, Khui, jil. 1, hal. 11, mukaddimah musahhih.
[5]. Bihār al-Anwār, jil. 90, hal. 376, bab 24, 'Illah al-Ibtha' fi al-Ijābah…; Irsyād al-Qulûb, jil. 1, hal. 75, al-Bab al-Tsāmin 'Asyar, Wishaya wa Hukum Balighah.. Iddat al-Da'i, hal. 310.
[6]. Mafātih al-Jinān, hal. 85, Dua 'Adilah, hal. 84.