Please Wait
23342
- berkongsi
Petunjuk (hidayah) terbahagi menjadi beberapa bahagian:
- Petunjuk takwīnī yang bersifat umum iaitu fitrah tauhid; ertinya petunjuk primer yang dimanfaatkan oleh seluruh manusia. Berdasarkan ajaran-ajaran al-Qur'an, pada peringkat pertama Allah (s.w.t) menganugerahkan petunjuk-Nya kepada seluruh manusia dan membuka jalan bagi mereka untuk mencapai kebahagiaan dan kesenangan melalui fitrah dan syariat.
- Petunjuk takwīnī yang merupakan sebuah ganjaran khusus untuk orang beriman dan bertakwa. Sementara itu orang yang fasik, zalim dan kafir tidak akan mendapat manfaat daripadanya. Orang beriman akan menjaga dan memelihara modal penerimaan hidayah ini yang berupa keselamatan fitrah tauhid dan petunjuk primer. Sementara itu orang fasik menghancurkan modal itu (fitrah mencari kebenaran) kerana ingkar perintah Allah. Sebab itulah mereka dijauhkan dari dari modal sekunder.
"Hidayah" berasal dari perkataan "hudā" yang bermakna bimbingan, panduan dan memperkenal.[1] Hidayah adalah istilah kalām dan ʻirfān yang membawa makna panduan, penunjukan kepada jalan yang baik dan benar.[2] Fisq (kefasikan) pula adalah istilah akhlak dan fikah. Dari segi perkataan ianya bermakna ingkar dari perintah Allah di mana orang kafir dan orang Islam yang melakukan maksiat termasuk di dalam kategori istilah ini. Manakala di dalam hukum syarak fasik dikatakan orang yang melakukan melakukan dosa besar atau tekun melakukan dosa kecil[3].
Allah (s.w.t) adalah sumber hidayah yang tidak terhingga. Semua manusia diciptakan berdasarkan fitrah suci tauhid dan berada di dalam perjalanan hidayah. Nurani fitrah tauhid mereka itulah yang mencetuskan usaha dalam diri untuk mengajak dan menarik mereka untuk sentiasa mencari kebenaran, mencintai keadilan dan sebagainya. Semua orang yang memiliki niat tulus dan semangat pasrah dalam menghadapi kebenaran adalah mereka yang termasuk di dalam hidayah Allah (s.w.t). Allah Yang Maha Pemurah, tidak sekali-kali pernah menahan kurniaan-Nya terhadap seluruh kewujudan, bahkan syaitan diciptakan di atas fitrah yang sejahtera sekalipun ia menjadi pemimpin orang sesat dan rosak. Setelah ia menderhakai perintah Allah untuk sujud kepada nabi Adam (a.s) maka syaitan pun dihindarkan dari rahmat Ilahi.
Untuk menjelaskan lagi soal-jawab, adalah penting dibahaskan sedikit masalah hidayah dan pembahagian-pembahagiannya supaya jelas mengapakah hidayah Ilahi tidak termasuk orang fasik. “Dan Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasiq."[4]
“Hidāyah” bermakna panduan dan petunjuk yang bertentangan dengan perkataan “ḍalālah” iaitu kesesatan. Petunjuk ini terdiri dari beberapa bahagian:
- Petunjuk umum untuk semua makhluk (hidayah takwīnī ʻam) “الذی خلق فسوی” (Yang menciptakan dan menyempurnakan), “و الذی قدر فهدی”[5] (yang menentukan kadar masing-masing dan memberi petunjuk); iaitu sebagaimana Tuhan mencipta dan mengatur, sebagaimana itu Dia menimbangkan dan memberi hidayah. “قال رب الذی اعطی کل شیء خلقه ثم هدی” iaitu Allah berfirman: Musa berkata, Tuhan kami ialah Tuhan yang memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya kemudian memberikannya petunjuk.[6] "
Dalam hal ini Tuhan memberikan petunjuk kepada seluruh manusia dan hidayah umum-Nya tanpa memilih kasih untuk sesiapa pun. Petunjuk umum Allah (s.w.t) ini sampai kepada manusia dalam dua tahap. Tahap pertama ialah secara fitrah. Allah (s.w.t) menempatkan fitrah tauhid ini ke dalam naluri manusia sebagai tarikan dan ajakan kepada segala keindahan, keadilan, dan sebagainya. “فطرت الله التی فطر الناس علیها”[7] Petunjuk takwini ini adalah frasarana hidayah umum yang juga merupakan hidayah tasyriʻī. Dalam hidayah tasyriʻī, Allah (s.w.t) mengutuskan para nabi kepada manusia sehingga mereka diingatkan kembali tentang ikrar yang mereka ucapkan dengan Tuhan mereka. "Kemudian Allah mengutus rasul-rasul-Nya dan nabi-nabi-Nya kepada mereka agar mereka memenuhi janji-janji penciptaan-Nya."[8]
Dalam tahap ini, anugerah hidayah dan petunjuk berupa pengutusan para nabi berlaku secara umum untuk semua orang. Seluruh manusia menjadi sasaran seruan dan dakwah para nabi Allah ke arah kejayaan dan kebahagiaan. Sesuai dengan ayat "ان علینا للهدی"[9] Allah (s.w.t) dalam ayat ini memandang bahawa memberikan petunjuk kepada manusia merupakan kewajiban-Nya. Akan tetapi manusia terbahagi menjadi dua kelompok berkenaan dengan hidayah Tuhan yang bersifat umum. Kelompok pertama adalah kelompok yang bersyukur atas nikmat hidayah ini. Kelompok kedua adalah yang mengingkari nikmat tersebut: "انا هدیناه السبیل اما شاکراً و اما کفوراً."[10] Kerana itu, orang yang bersyukur kepada Allah (s.w.t) atas hidayah primer (hidayah takwini dan hidayah tasyri'i) mendapatkan perhatian lebih daripada-Nya dan akan mendapatkan hidayah-hidayah yang selanjutnya. Orang beriman dan bertakwa adalah mereka yang termasuk dalam kelompok ini. Adapun orang yang tidak bersyukur dan cenderung kepada kekufuran terhadap nikmat hidayah ini tidak akan mendapatkan hidayah-hidayah berikutnya kerana kekufuran atas nikmat yang diberikan. Orang fasik adalah mereka yang termasuk dalam golongan ini.
- Hidayah khusus Ilahi bagi manusia (hidayah takwini yang merupakan ganjaran).
Klasifikasi hidayah ini diraih oleh kaum mukminin dan orang yang bertakwa setelah mendapatkan hidayah umum. Terdapat tiga pandangan di kalangan para mufassir mengenai rahsia pengkhususan hidayah ini kepada orang-orang beriman. Berkenaan dengan penafsiran ayat “ذالک الکتاب لاریب فیه هدی للمتقین”[11] para mufassir berkata:
- Ada satu golongan yang meyakini bahawa petunjuk al-Qur'an adalah bersifat umum dan ia menerangkan ayat-ayat yang dikhususkan untuk orang-orang bertakwa dengan pemanfaatan orang-orang beriman atas petunjuk tersebut.[12] Pandangan ini menyatakan bahawa al-Qur'an berada pada tahap hidayah tasyriʻī dan tidak hanya dikhususkan bagi golongan tertentu. Jenis petunjuk ini diperolehi kaum mukminin dan orang yang bertakwa setelah hidayah umum. Namun manusia terbahagi menjadi dua kelompok di hadapan hidayah tasyriʻī ini. Sebahagian orang tidak mengindahkan petunjuk Qur'an ini "وان تدعوهم الی الهدی لایسمعون..."[13] Akan tetapi orang-orang bertakwa mengambil manfaaat atas hidayah al-Qur'an dan ayat-ayat yang khusus dengan petunjuk berkenaan orang yang bertakwa ini.
- Allamah Thabathabai meyakini bahawa yang dimaksud dengan hidayah dalam ayat ini "هدی للمتقین" adalah petunjuk takwini iaitu ganjaran dan pahala istimewa daripada Allah (s.w.t). Ia bukanlah hidayah tashrīʻī ‘ibtidā’ī. Rahsia pengkhususan hidayah ini kepada orang bertakwa ialah disebabkan mereka menjaga modal untuk menerima petunjuk al-Qur'an. Modal itu adalah keselamatan fitrah manusia.[14]
- Pandangan ketiga tentang hidayah khusus Ilahi ialah hidayah yang dikhaskan untuk orang yang bertakwa. Hidayah khusus ini berupa hidayah takwīnī (penyampaian kepada matlamat) yang datangnya setelah hidayah tasyriʻī umum al-Qur'an (menyediakan jalan). Apa yang dimaksudkan muttaqin ialah orang yang menyuburkan fitrahnya serta melintasi beberapa jalan dengan memanfaatkan petunjuk al-Qur'an. Kemudian hidayah mengakibatkan mereka akan sampai kepada matlamat.[15]
Oleh kerana itu, yang dimaksud oleh ayat "والله لایهدی القوم الفاسقین" (Qs. Ṣāf [72]:5) adalah hidayah sekunder takwīnī yang merupakan akibat daripada pengingkaran mereka, bukan hidayah tasyrīʻī; kerana penyimpangan dari hidayah primer merupakan sebuah kefasikan dan penderhakaan yang menjadi sebab terhindarnya mereka dari hidayah sekunder Ilahi ini.[16]
Oleh kerana Allah (s.w.t) menjelaskan seluruh makrifat dan pengetahuan agama kepada seluruh manusia, memperdengarkan kepada semua individu dan Tuhan tidak pernah mengecualikan limpahan anugerahNya kepada setiap makhluk, maka faedah daripada hidayah dan taufik diri berasaskan penerimaan insan.
Jelaslah sekiranya tiada sarana penerimaan dan pengaruh, sudah tentu tidak menyebabkan seseorang itu memperolehi hidayah dan petunjuk. Sementara itu ayat suci: "Sekiranya Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, sudah tentu Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar nescaya mereka pasti berpaling jua, sedangkan mereka membangkang." (Qs. Al-Anfal [8]:23), mungkin bermakna begini: Apabila Tuhan memandang terdapat kebaikan (kata-kata yang benar) di dalam mereka, maka Allah akan menyampaikan firman-Nya kepada pendengaran mereka. Tetapi mereka berpaling jika kebenaran disampaikan ke pendengaran mereka.[17]
Selain itu, ayat ini juga menunjukkan bahawa insan yang tidak mempunyai sarana menerima hidayah Ilahi di dalam diri mereka pun tetap akan berpaling dan menderhakai meskipun termasuk di kalangan orang yang mendapat hidayah Allah.[18] Terdapat banyak ayat-ayat mengenai orang kafir dan munafik yang dinamakan al-Qur’an sebagai zalim, kafir, fasik dan lain-lain lagi. Oleh kerana mereka ini dilupakan Tuhan, maka mereka pun terkeluar dari jalan hidayah dan dihindarkan dari hidayah Ilahi.[19] []
[1]. Shihāh al-Lugha, jil.6, hal. 2533.
[2]. Sayid Ja'far Sajjadi, Farhangg-e Maʻārif Islāmi, jil. 4, hal. 622.
[3]. Ibid, hal. 446.
[4]. "Dan Allah Swt tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang fasik." (Qs. Shaaf [37]:5)
[5]. "Yang menciptakan dan menyempurnakan (penciptaan-Nya). dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk." (Qs. Al-A'la [87]:1-2)
[6]. "Musa berkata, “Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada makhluk-Nya segala sesuatu (yang mereka perlukan), kemudian memberi petunjuk kepada mereka.” (Qs. Thaha [20]:50)
[7]. "Fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu." (Qs. Al-Rum [30]:30)
[8]. Nahj al-Balāghah, khutbah pertama.
[9]. "Sesungguhnya kewajiban Kami memberi petunjuk." (Qs. Al-Lail [92]:2).
[10]. "Kami menunjukkan jalan kepadanya (manusia) ada yang bersyukur ada juga yang kufur." (Qs. Al-Insan [76]:3)
[11]. Itulah kitab yang tiada keraguan di dalamnya sebagai petunjuk bagi orang-orang bertakwa." (Qs. Al-Baqarah [2]:1)
[12]. Thabarsi, Majmā' al-Bayān, jil. 1, hal. 118
[13]. "Dan apabila kalian menyerunya kepada hidayah mereka tidak akan mendengar seruanmu." (Qs. Al-A'raf [7]:198)
[14]. Sayid Muhammad Husain Thabathabai, al-Mizān, jil. 1, hal. 45.
[15]. Abdullah Jawadi Amuli, Tafsir Tasnim, jil. 2, hal. 140.
[16]. Sayid Muhammad Husain Thabathabai, al-Mizān, jil. 1, hal. 72.
[17]. Akbar Hasyimi Rafsanjani, Tafsir Rāhnemā, jil. 6, hal. 454.
[18]. Ibid,
[19]. Sayid Muhsin Mir Baqiri, Sima-ye Insan Mukhtar dar Qur'an, hal. 152.